BEIJING: China dan Honduras memulakan hubungan diplomatik secara rasmi, hari ini, manakala Taipei pula mendakwa Beijing menggunakan 'paksaan serta ugutan' terhadap sekutu Taiwan.
Pengumuman China berhubung perkembangan terbaharu itu menyusul sejurus Tegucigalpa memutuskan hubungan diplomatik secara rasmi dengan Taipei.
Kementerian Luar China dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua kerajaan berkenaan memuktamadkan keputusan untuk saling mengiktiraf dan mewujudkan hubungan diplomatik pada peringkat kedutaan, berkuat kuasa serta-merta.
Ia sekali gus mengurangkan jumlah negara kepada 13 yang masih mengiktiraf Taiwan secara diplomatik kini, selepas Taipei kehilangan beberapa sekutu Amerika Latin sejak beberapa tahun lalu.
China menganggap Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya yang akan dirampas semula - termasuk secara paksa jika perlu. Dasar 'Satu China' tidak membenarkan sesebuah negara itu mengiktiraf kedua-dua Beijing dan Taipei.
Rakaman video yang disiarkan CCTV menunjukkan Menteri Luar Honduras, Enrique Reina, dan rakan sejawatnya di China, Qin Gang, menandatangani kenyataan bersama di Beijing.
"China mengalu-alukan Presiden (Honduras) Xiomara Castro untuk melawat China," kata Qin.
Terdahulu, Reina berkata, pihaknya 'menyampaikan' keputusan menamatkan hubungan diplomatik dengan Taiwan, atas arahan Castro.
"Kerajaan Honduras mengiktiraf kewujudan hanya satu China di dunia, dan Kerajaan China adalah satu-satunya kerajaan sah yang mewakili seluruh China.
"Taiwan adalah bahagian wilayah China yang tidak boleh dipisahkan," menurut Kementerian Luar Honduras.
Sementara itu, Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen pula mendakwa ia adalah sebahagian daripada hasil 'paksaan serta ugutan China' terhadap sekutu Taipei.
"China menindas ruang antarabangsa (Taiwan) untuk sekian lama, secara unilateral menggugat keamanan dan kestabilan serantau," dakwa kenyataan daripada pejabatnya. - AFP