TEHRAN: Tehran mengecam serangan udara oleh Amerika Syarikat (AS) di Syria, yang dilapor telah mengorbankan sekurang-kurang 19 orang.
Washington mendakwa ia adalah tindak balas dilancarkan ke atas kumpulan tentera berkait Iran di Syria, susulan serangan dron terhadap pasukan AS sehingga mengakibatkan kematian.
Seorang kontraktor AS dilaporkan terbunuh, manakala seorang lagi kontraktor dan lima anggota tentera cedera, dalam serangan dron yang didakwa 'berasal dari Iran' ke atas sebuah pangkalan pakatan diketuai Washington di Syria, Khamis lalu.
Pemantau hak asasi manusia Syria mendakwa, sekurang-kurang 19 orang yang kebanyakannya adalah warga Syria, maut dalam serangan balas dilancarkan AS pada awal pagi kelmarin.
Menurut kumpulan pemantau dalam peperangan itu, tindakan AS berkenaan mendorong serangan roket seterusnya oleh pejuang yang disokong Iran.
Lewat malam tadi, Kementerian Luar Iran mengutuk apa yang didakwanya sebagai 'serangan pengganas dilancarkan tentera AS ke atas sasaran awam' di wilayah Deir Ezzor, timur Syria.
Kerajaan Syria yang juga sekutu rapat Iran, menuduh AS berbohong mengenai sasaran serangan udaranya bagi mewajarkan tindakan berkenaan.
AS menempatkan kira-kira 900 tentera di pos seluruh timur laut Syria, bagi memberi tekanan ke atas saki-baki pejuang Daesh dan menyokong Tentera Demokratik Syria pimpinan Kurdish yang menguasai sebahagian besar kawasan timur laut.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Nasser Kanani, berkata kehadiran tentera AS itu adalah 'haram' serta 'melanggar undang-undang antarabangsa dan kedaulatan Syria.'
Sebaliknya, Kanani menegaskan, tentera Iran berada di Syria atas permintaan Damsyik, dan akan terus memberi sokongan bagi membantu mewujudkan keamanan, kestabilan serta keselamatan yang berkekalan. - AFP