TEHRAN: Jumlah mangsa yang cedera dalam gempa bumi berukuran magnitud 5.6 yang menggegarkan barat laut Iran pada pagi Jumaat lalu kini mencecah 239 orang.
Angka itu dikeluarkan Agensi Berita Pelajar Iran (ISNA) semalam, selepas mengambil kira jumlah mereka yang cedera akibat gegaran susulan.
Menurut Pusat Seismologi Iran (IRSC), gempa berlaku berhampiran Daerah Khoy di wilayah Azarbaijan Barat pada jam 6:46 pagi waktu tempatan (0316 GMT) pada kedalaman lapan kilometer (km).
Ketua Pertubuhan Bantuan dan Menyelamat Iran, Sadeq Mahmoudi, berkata antara mangsa yang cedera, 50 adalah dari Daerah Khoy dan selebihnya dari Daerah Salmas.
Tambahnya, 219 orang dibenarkan keluar dari pusat perubatan selepas menerima rawatan, manakala 20 orang termasuk tujuh dari Khoy dan 13 dari Salmas, dimasukkan ke hospital.
Menurut Mahmoudi lagi, khemah dan selimut sudah dihantar kepada penduduk di kawasan yang dilanda gempa bumi.
Jumaat lalu, Ketua Pengarah Yayasan Perumahan Azarbaijan Barat, Jafar Barzegar memberitahu agensi berita rasmi Iran, IRNA bahawa 80 unit kediaman di 10 kampung di daerah Salmas dan Khoy rosak akibat gempa bumi itu.
Pada akhir Januari lalu, gempa bumi berukuran 5.9 magnitud di Khoy County membunuh tiga orang dan mencederakan lebih 800 yang lain. - AGENSI