Sabtu, 25 March 2023 | 6:52pm
Ketua Panglima Tentera Bersama AS, Jeneral Mark Milley bercakap dengan tentera AS di Syria semasa lawatan mengejut di pangkalan tentera negara itu di Timur Laut Syria, pada 4 Mac 2023. - Gambar fail REUTERS
Ketua Panglima Tentera Bersama AS, Jeneral Mark Milley bercakap dengan tentera AS di Syria semasa lawatan mengejut di pangkalan tentera negara itu di Timur Laut Syria, pada 4 Mac 2023. - Gambar fail REUTERS

Angka kematian serangan udara AS meningkat kepada 19 kes

BEIRUT: Angka kematian akibat serangan udara Amerika Syarikat (AS) ke atas kumpulan pro-Iran di timur Syria meningkat kepada 19 kes.

Ia adalah tindak balas kepada serangan dron kelmarin, menyebabkan seorang kontraktor AS maut, manakala seorang lagi cedera bersama lima tentera republik itu dengan Washington mendakwa serangan terbabit berasal dari Iran.

Ketua Pemantau Balai Cerap Hak Asasi Manusia Syria berpangkalan di United Kingdom, Rami Abdel Rahman, berkata serangan balas AS itu dibuat ke atas kemudahan digunakan kumpulan bergabung dengan Kor Pengawal Revolusi Iran di Syria.

Beliau berkata, ia mengorbankan tiga tentera Syria, 11 pejuang Syria dalam militia prokerajaan dan lima pejuang bukan Syria yang sealiran dengan kerajaan, namun tidak dapat memperincikan status kewarganegaraan warga asing terbabit.

Pegawai dan sumber tempatan berkata, seorang lagi anggota AS cedera, disyaki akibat lebih banyak bedilan roket AS di timur Syria.

Presiden AS, Joe Biden semalam, memberi amaran kepada Iran bahawa AS akan 'bertindak tegas' untuk melindungi rakyatnya.

Iran adalah penyokong utama Presiden Bashar al-Assad ketika konflik Syria selama 12 tahun.

Proksi militan Iran, termasuk Hizbullah Lubnan dan kumpulan Iraq pro-Tehran, berkuasa di kawasan timur, selatan dan utara Syria dan di pinggir bandar sekitar ibu negara. - REUTERS

Berita Harian X