BEIJING: Wellington membangkitkan beberapa kebimbangan mengenai pencabulan hak asasi manusia dan ketegangan semakin meningkat antara China dan Taiwan dalam pertemuan di Kedutaan New Zealand di Beijing, hari ini.
Bercakap kepada AFP, Menteri Luar New Zealand, Nanaia Mahuta, berkata pertemuan bersama rakan sejawatnya dari China, Qin Gang itu dibuat bagi membincangkan 'isu mencabar', termasuk hak asasi manusia di Xinjiang, kebebasan di Hong Kong dan pengaruh republik itu di Pasifik.
Beliau berkata, terdapat topik tertentu berkaitan hak asasi manusia gagal dipersetujui, walaupun kedua-dua negara menjalin hubungan ekonomi yang rapat.
New Zealand juga menggesa China sebagai rakan dagang terbesarnya, berhubung laporan penindasan terhadap minoriti Uyghur di Xinjiang.
"Dalam perbincangan itu, saya menggesa China untuk menjawab cadangan Pejabat Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia (PBB).
"Banyak perkara dipersetujui, selain turut membincangkan beberapa isu mencabar serta menyelesaikan perselisihan antara kami, antaranya ialah berkaitan isu hak asasi manusia," katanya.
Minggu ini, Mahuta julung kali melawat China, sejak 2018.
Terdahulu, beliau dalam kenyataan berkata, sudah memaklumkan rakan sejawatannya mengenai 'kebimbangan' kerajaan New Zealand berhubung situasi hak asasi manusia di Xinjiang serta penghakisan hak dan kebebasan di Hong Kong'.
Selain itu, beliau berkata, peluang sama digunakan untuk 'mengetengahkan pendirian New Zealand mengenai serangan Russia terhadap Ukraine'.
Beijing mengelak daripada menggunakan bahasa yang lantang untuk merujuk kepada serangan Russia, sebaliknya mendakwa Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), 'batu api'.
Katanya, New Zealand 'menggesa China menggunakan pengaruhnya terhadap Russia bagi menyaksikan pengunduran tentera dan menghentikan perang'.
Kenyataan itu menegaskan kebimbangan Wellington terhadap sebarang sokongan (dari China) ke atas serangan Russia'.
Lawatan Presiden Xi Jinping ke Moscow minggu ini, memburukkan lagi kebimbangan terhadap rancangan Beijing memberi sokongan material kepada Russia. - AFP