Rabu, 15 March 2023 | 4:28pm
Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev. - Foto AFP
Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev. - Foto AFP

Referendum Uzbekistan untuk benarkan presiden lanjut pemerintahan

TASHKENT: Satu referendum atau pungutan suara Perlembagaan termasuk cadangan untuk membenarkan presiden negara, Shavkat Mirziyoyev, bertanding untuk satu penggal lagi, akan ditetapkan pada akhir April ini di Uzbekistan.

Perlembagaan baharu yang dicadangkan itu akan meminda dua pertiga daripada undang-undang asas semasa dan undian akan berlangsung pada 30 April di negara paling ramai penduduk di Asia Tengah iaitu kira-kira 35 juta orang.

Mirziyoyev, yang memimpin secara autokratik pada 2016, dipilih semula selama lima tahun dengan lebih 80 peratus undi pada Oktober 2021 dalam pilihan raya yang menurut pemerhati antarabangsa, tiada persaingan sebenar.

Pindaan Perlembagaan itu akan membolehkan lelaki berusia 65 tahun itu bertanding untuk pemilihan semula pada 2026 dan jika dipilih semula, kekal berkuasa sehingga 2033 atau 2040.

Menurut draf cadangan, tempoh jawatan presiden akan dilanjutkan kepada tujuh tahun dan calon akan mempunyai hak untuk bertanding tanpa mengira bilangan penggal berturut-turut untuk terus berkuasa.

Disahkan hampir sebulat suara oleh dua dewan Parlimen, cadangan itu juga merancang untuk menjadikan Uzbekistan sebagai 'negara sosial' di mana 'manusia, kehidupannya, kebebasannya, kehormatannya dan maruahnya adalah nilai tertinggi'.

Pindaan Perlembagaan yang merancang untuk mengurangkan autonomi republik Karakalpakstan, kawasan padang pasir Uzbekistan dan antara wilayah termiskin di negara itu, sudah ditinggalkan.

Pada Julai 2022, demonstrasi berlaku di Karakalpakstan untuk mengecam draf cadangan itu hingga mengakibatkan 21 orang maut mengikut laporan rasmi, internet terputus dan pengisytiharan darurat. - AFP

Berita Harian X