Ahad, 12 March 2023 | 5:32pm
Tentera Israel berkawal dekat persimpangan Jit di barat Nablus dalam wilayah diduduki Israel di Tebing Barat di mana pihak berkuasa Israel menembak mati tiga pejuang Palestin. - Foto AFP
Tentera Israel berkawal dekat persimpangan Jit di barat Nablus dalam wilayah diduduki Israel di Tebing Barat di mana pihak berkuasa Israel menembak mati tiga pejuang Palestin. - Foto AFP

Tentera Israel tembak mati 3 lelaki Palestin bersenjata

BAITULMAQDIS: Tentera Israel hari ini menembak mati tiga lelaki Palestin bersenjata yang DIDAKWA melepaskan tembakan ke arah tentera di Tebing Barat yang diduduki, kata pasukan keselamatan itu.

Ia adalah pertumpahan darah terbaru dalam gelombang keganasan yang berlanjutan selama setahun di rantau itu.

Tentera Israel berkata, seorang lelaki bersenjata menyerah diri dan sudah ditahan.

Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan tiga individu terbunuh berhampiran bandar Nablus, bagaimanapun identiti mereka belum didedahkan.

Tragedi berdarah itu menjadikan jumlah penduduk Palestin yang terbunuh sejak awal tahun ini meningkat kepada 80 orang, ketika Israel memperluaskan serbuan di Tebing Barat.

Keganasan baharu itu tercetus susulan serbuan tentera Israel minggu lalu di perkampungan Jaba, dekat Tebing Barat, di mana tiga pejuang Palestin terbunuh.

Beberapa jam kemudian, seorang lelaki Palestin melepaskan tembakan ke arah laluan Tel Aviv yang sibuk pada permulaan hujung minggu, mengakibatkan tiga individu cedera, sebelum dia ditembak dan terbunuh.

Peningkatan keganasan yang sedang berlaku ketika ini adalah antara yang terburuk di antara Israel dan Palestin di Tebing Barat dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Ia bermula pada musim bunga lalu selepas beberapa siri serangan Palestin terhadap Israel yang mencetuskan serbuan hampir setiap malam oleh Israel di Tebing Barat.

Menurut kumpulan hak asasi terkemuka Israel, B'Tselem, hampir 150 rakyat Palestin terbunuh di Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis pada tahun lalu, yang juga kes kematian tertinggi di kawasan itu sejak 2004.

Israel berkata, serbuan yang dilakukan penting untuk merungkai rangkaian militan dan mencegah serangan masa depan, bagaimanapun serangan yang dilancarkan dilihat semakin meningkat dan tidak menunjukkan tanda ia akan berkurangan. - AP

Berita Harian X