Sabtu, 11 March 2023 | 9:48am
Li Qiang dicalonkan sebagai Perdana Menteri China. - Foto AP
Li Qiang dicalonkan sebagai Perdana Menteri China. - Foto AP

Li Qiang dilantik Perdana Menteri China

BEIJING: Li Qiang, seorang sekutu paling dipercayai Presiden China, Xi Jinping disahkan sebagai perdana menteri hari ini ketika Jinping menegaskan pengaruhnya terhadap kepemimpinan tertinggi negara itu.

Qiang, bekas ketua Parti Komunis Shanghai yang mengawasi perintah berkurung selama dua bulan di bandar itu pada musim bunga lalu, dinamakan sebagai pengganti perdana menteri Li Keqiang.

Pemimpin berusia 63 tahun itu menerima hampir semua undi daripada lebih 2,900 perwakilan di Kongres Rakyat Kebangsaan sehari selepas Jinping dipilih sebulat suara untuk penggal ketiga yang dilihat melanggar norma sebagai presiden.

Usul Jinping mencalonkan Qiang sebagai perdana menteri dibacakan di dewan pada pagi tadi.

Pelantikan Qiang sebelum ini mencetuskan keraguan selepas beliau mengendalikan penutupan Shanghai, yang mana penduduk bergelut untuk mengakses makanan dan rawatan perubatan.

Bagaimanapun rekod Qiang serta bantahan yang meluas pada musim sejuk lalu ke atas dasar sifar-COVID Jinping diketepikan apabila Jinping mengukuhkan cengkamannya terhadap politik China.

Terdahulu Jinping mencalonkan Qiang, 63, untuk menjadi perdana menteri ketika persidangan tahunan Parlimen China, jawatan yang berperanan menguruskan ekonomi kedua terbesar dunia.

Qiang menggantikan Keqiang yang akan bersara dalam sesi Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) yang berakhir Isnin ini, selepas berkhidmat selama 10 tahun.

Qiang berkhidmat sebagai ketua turus Jinping antara 2004 hingga 2007 ketika presiden memegang jawatan setiausaha parti bagi cawangan Zhejiang.

Dilihat pragmatik dan mesra perniagaan, Qiang bakal berdepan tugas berat memperkukuhkan pemulihan ekonomi China selepas sekatan COVID-19 selama tiga tahun, keyakinan lemah dalam kalangan pengguna dan sektor swasta serta cabaran global.

Beliau juga akan mengambil alih jawatan itu ketika ketegangan yang semakin memuncak dengan Barat, termasuk langkah Amerika Syarikat (AS) menyekat akses China pada teknologi utama.

Selain itu, semakin banyak syarikat global mempelbagaikan rantaian bekalan untuk mengurangkan pendedahan pada China, berikutan risiko politik dan gangguan ketika penularan COVID-19.

Ekonomi China hanya berkembang tiga peratus tahun lalu, dan hari pembukaan Parlimen Beijing menetapkan pertumbuhan sederhana tahun ini dengan sasaran sekitar lima peratus, yang juga sasaran terendah dalam tempoh hampir 30 tahun.

Timbalan pengarah penyelidik China di Gavelal Dragonomics, Christopher Beddor, berpandangan tugas utama Qiang tahun ini adalah mencapai lebih daripada sasaran itu tanpa mencetus inflasi yang serius atau meningkatkan hutang.

Meskipun China tidak menunjukkan isyarat untuk menyuntik rangsangan bagi melonjak pertumbuhan, Beddor melihat cabaran besar seperti penurunan eksport atau kelemahan berterusan sektor hartanah bakal menghimpit Qiang.

"Pentadbiran China sudah menanggung pertumbuhan ekonomi yang lemah selama dua tahun atas alasan pengawalan COVID-19. Sekarang sekatan sudah tiada, mereka tidak boleh lagi menerima satu lagi pertumbuhan ekonomi yang lemah," katanya.

Qiang akan membuat kemunculan pertama di pentas antarabangsa Isnin ini ketika sesi soal jawab tradisi Perdana Menteri China bersama media selepas sesi Parlimen berakhir.

Beliau diletakkan dalam laluan untuk menjadi Perdana Menteri pada Oktober tahun lalu selepas dilantik memegang jawatan nombor dua dalam Jawatankuasa Politburo ketika Kongres Parti Komunis yang diadakan sekali dalam lima tahun.

Jinping melantik beberapa pemimpin yang setia ke jawatan utama dalam rombakan kerajaan yang terbesar dalam tempoh 10 tahun, susulan generasi pegawai yang cenderung pada reformasi bersara.

Jinping juga terus memperkukuh kuasanya selepas dilantik sebagai Presiden China buat kali ketiga semalam. - AGENSI

Berita Harian X