BEIJING: Xi Jinping dilantik sebagai Presiden China untuk penggal ketiga hari ini, menyaksikan beliau menjadi pemimpin paling berkuasa negara itu dalam beberapa generasi.
Pelantikan itu dibuat selepas Jinping mengesahkan akan mengetuai Parti Komunis China (PKC) bagi tempoh lima tahun lagi, pada Oktober lalu.
Pengumuman itu diikuti dengan pengisytiharan taat setia oleh perwakilan terhadap perlembagaan China dalam demonstrasi kesetiaan dan secara sebulat suara.
Jinping ketika lafaz ikrar taat setia mengangkat tangan kanannya, manakala tangan kirinya pula diletakkan pada Perlembagaan China.
"Saya bersumpah untuk setia kepada Perlembagaan China, selain akan menegakkan kuasa perlembagaan, melaksanakan kewajipan berkanun, setia kepada tanah air dan rakyat," beliau berikrar sambil berjanji untuk bekerja keras dan melaksanakan tugasnya dengan jujur.
Lafaz ikrar itu disiarkan secara langsung di televisyen di seluruh negara, selain Jinping berikrar untuk 'membina negara sosialis moden yang makmur, kuat, demokratik, beradab, harmoni dan hebat'.
Rentetan itu, Jinping, 69, berdepan bantahan meluas mengenai dasar sifar-COVID yang dilaksanakannya dan kematian ramai orang selepas ia dimansuhkan.
Isu itu dielakkan pada Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) minggu ini, acara yang disusun dengan teliti bagi melantik sekutu Jinping, Li Qiang sebagai Perdana Menteri baharu.
Perwakilan hari ini, melantik Jinping sebagai Presiden China bagi penggal ketiga, selain melantiknya semula bagi jawatan Ketua Suruhanjaya Tentera Pusat republik itu menerusi undian sebulat suara.
'Great Hall of the People' di Beijing, sebuah bangunan luas milik kerajaan di pinggir Dataran Tiananmen, dihiasi permaidani merah jambu dan sepanduk untuk undian, selain kumpulan tentera turut menyediakan muzik latar.
Monitor digital di sisi pentas turut memaparkan pengisytiharan pengiraan terakhir dengan semua 2,952 undi memihak kepada Jinping. - AFP