Khamis, 9 March 2023 | 4:04pm
Seorang lelaki menuding jari ke arah beg galas yang terkena percikan darah dan bom dengan logo kumpulan pejuang Jihad Islam dalam sebuah kereta selepas tiga warga Palestin mati ditembak polis sempadan Israel di Tebing Barat yang diduduki. - Foto AFP
Seorang lelaki menuding jari ke arah beg galas yang terkena percikan darah dan bom dengan logo kumpulan pejuang Jihad Islam dalam sebuah kereta selepas tiga warga Palestin mati ditembak polis sempadan Israel di Tebing Barat yang diduduki. - Foto AFP

3 warga Palestin mati ditembak tentera Israel

BAITULMAQDIS: Tentera Israel membunuh tiga rakyat Palestin di sebuah kampung berhampiran bandar Jenin di Tebing Barat, kata Kementerian Kesihatan Palestin tanpa memberikan butiran lanjut berkaitan isu berkenaan.

Memetik kenyataan penduduk yang dilaporkan radio Palestin, tentera Israel turut menyerbu kampung Jaba di selatan Jenin dengan mengepung sebuah rumah di mana berlakunya tembak menembak dan seorang penduduk ditahan sebelum tentera berkenaan berundur.

Tiada komen dikeluarkan oleh tentera Israel setakat ini, namun Menteri Keselamatan, Itamar Ben-Givr, dalam satu kenyataan mengesahkan tiga orang terbunuh susulan 'tindakan tepat dan penghapusan mereka yang menembak pihak berkuasa Israel'.

Radio Hamas mendakwa, tentera Israel itu menyasarkan untuk membunuh ketua kumpulan yang dikenali sebagai Briged Jaba.

Operasi itu berlaku beberapa hari selepas tentera Israel menyerbu kem pelarian di Jenin dan membunuh enam pejuang Palestin termasuk seorang lelaki bersenjata anggota Hamas yang disyaki membunuh dua penduduk Yahudi di Tebing Barat pada 26 Februari lalu.

Kementerian Kesihatan Palestin berkata, seorang remaja lelaki berusia 14 tahun cedera dalam pertempuran sebelum ini dan dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami.

Tentera Israel melakukan serbuan hampir setiap hari di Tebing Barat sejak berbulan lamanya dengan ribuan tangkapan serta pembunuhan 200 rakyat Palestin termasuk pejuang dan orang awam.

Dalam tempoh yang sama, lebih 40 warga Israel terbunuh dalam serangan yang dilakukan oleh rakyat Palestin. - REUTERS

Berita Harian X