NABLUS: Pasukan keselamatan Palestin di Tebing Barat, hari ini bertindak melepaskan gas pemedih mata ketika orang ramai menghadiri pengebumian pejuang Hamas yang dibunuh tentera Israel.
Tindakan oleh pihak keselamatan itu berlaku selepas mereka yang hadir melaungkan slogan menentang Pihak Berkuasa Palestin.
Ratusan penduduk berarak melalui jalan di bandar Nablus, Tebing Barat utara bagi menghadiri pengebumian pejuang Hamas, Abdel Fatah Hussein Khroushah, 49.
Beliau terbunuh bersama lima rakyat Palestin yang lain ketika pertempuran sengit dalam serbuan Israel di Jenin, Selasa lalu.
Tentera Israel berkata, Khroushah adalah 'operatif pengganas' yang disyaki membunuh dua peneroka Israel di bandar Huwara, Palestin pada 26 Februari lalu.
Ketika jenazah Khroushah melalui Nablus, kedengaran jeritan menghina pasukan keselamatan Palestin yang menggelar mereka 'pelacur' dan 'mata-mata' untuk Israel.
Pegawai Palestin bertindak melepaskan gas pemedih mata dan bom tangan, sebelum jenazah dibawa dengan ambulans.
Jurucakap perkhidmatan keselamatan Palestin, Talal Dweikat, berkata pihaknya mula campur tangan apabila berlaku pertengkaran selepas 'sekumpulan orang yang tiada kaitan dengan mangsa menculik jenazah dan menurunkannya ke tanah'.
"Pertengkaran berlaku ketika mereka melaungkan slogan menentang pihak berkuasa negara (Palestin) serta perkhidmatan keselamatan dan bukannya mengutuk pendudukan (Israel) yang melakukan jenayah terhadap rakyat kita," katanya.
Sementara itu di Jenin, orang ramai berarak ketika menghadiri pengebumian lima lagi rakyat Palestin yang terbunuh Selasa lalu.
Semua mangsa berusia 20-an. Serbuan Jenin adalah insiden terbaru dalam rentetan operasi ketenteraan di wilayah Palestin, yang diduduki Israel sejak Perang Enam Hari 1967.
Tentera Israel dan agensi keselamatan domestik Shin Bet berkata, mereka turut melakukan serbuan berasingan, Selasa lalu di kem pelarian di Nablus dan menahan dua anak lelaki Khroushah 'yang disyaki membantu dan merancang dalam serangan pengganas'. - AFP