Selasa, 7 March 2023 | 11:14am
Pertemuan antara Raja Jordan, Raja Abdullah (kanan) dan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Lloyd Austin. - Foto AFP
Pertemuan antara Raja Jordan, Raja Abdullah (kanan) dan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Lloyd Austin. - Foto AFP

Keganasan di Tebing Barat dikhuatiri ancam kestabilan serantau

AMMAN: Raja Jordan, Raja Abdullah, memberitahu Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Lloyd Austin, bahawa peningkatan keganasan di Tebing Barat mengancam kestabilan serantau.

Beliau turut meminta bantuan dalam memerangi penyeludupan dadah yang semakin meningkat di sepanjang sempadannya dengan Syria, oleh militia yang didakwa disokong Iran, kata pegawai Jordan.

Austin tiba di Jordan bagi memulakan lawatannya ke Timur Tengah dan akan berkunjung ke Israel dan Mesir, bagi memberi sokongan kepada sekutu-sekutu utama AS di rantau itu dalam menghadapi ancaman Iran, kata pegawai itu lagi.

Austin menulis di laman Twitter sebelum berlepas ke Timur Tengah, bahawa beliau akan bertemu pemimpin kanan dan 'mengulangi komitmen AS bagi kestabilan serantau dan memajukan kepentingan bersama sekutu dan rakan'.

Raja Abdullah, yang menjadi tuan rumah mesyuarat pertama Israel-Palestin di Aqaba minggu lalu, yang turut dihadiri pegawai AS dan Mesir, berkata usaha perlu dipergiatkan bagi menghasilkan pelan damai Arab-Israel.

"Perlu diwujudkan ketenangan dan mengurangkan ketegangan di wilayah Palestin dan menghentikan sebarang langkah sebelah pihak yang boleh menggugat kestabilan serta menghakis peluang mencapai perdamaian," menurut kenyataan daripada Istana Jordan, selepas rundingan antara Raja Jordan dan Austin.

Di Israel, Austin dijangka menyuarakan kekhuatiran mengenai keganasan di Tebing Barat, yang mencemaskan Jordan serta pemimpin Arab.

Beliau akan membincangkan usaha diplomatik bagi mengurangkan ketegangan, menjelang cuti keagamaan masyarakat Islam dan Yahudi, kata pegawai AS.

Jabatan Pertahanan AS berkata perbincangan akan tertumpu kepada ancaman Iran yang semakin meningkat terhadap kestabilan serantau, serta memajukan kerjasama berbilang negara melalui gabungan pertahanan udara dan peluru berpandu.

Pusat perbincangan itu adalah 'terhadap ancaman Iran...', kata seorang pegawai pertahanan yang dipetik daripada laporan Pentagon, menjelang lawatan Austin ke Timur Tengah.

"Ancaman ini termasuk persenjataan Iran, latihan dan penyediaan dana kepada kumpulan-kumpulan pengganas, melakukan kekerasan di laut, ancaman siber, program peluru berpandu balistik dan serangan dron," kata pegawai itu lagi.

Raja Abdullah membincangkan dengan Austin, mengenai kekhuatiran beliau terhadap kegiatan militia yang disokong Iran, di selatan Syria.

Menurut pegawai, kegiatan penyeludupan dadah semakin meningkat di wilayah sempadan, untuk menembusi pasaran di Teluk, kata seorang pegawai Jordan kepada agensi berita Reuters.

Amman mahukan lebih banyak bantuan tentera AS bagi meningkatkan kawalan keselamatan di sempadan, di mana Washington sejauh ini sudah memberi sekitar AS$1 bilion (RM4.4 bilion), bagi mendirikan pos kawalan sempadan, kata pegawai Jordan.

Jordan mempunyai sempadan dengan Syria sepanjang 375 kilometer. - REUTERS

Berita Harian X