TAIPEI: Menteri Pertahanan Taiwan, Chiu Kuo-cheng memberi amaran bahawa pulau itu perlu lebih berjaga-jaga dengan 'kemasukan mengejut' oleh tentera China ke kawasan berhampiran wilayahnya di tengah-tengah ketegangan tentera yang meningkat di seluruh Selat Taiwan.
China dilaporkan meningkatkan aktiviti ketenteraannya di sekitar Taiwan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk hampir setiap hari menceroboh zon pengenalan pertahanan udara pulau itu.
Bagaimanapun, Taiwan masih belum melaporkan sebarang insiden tentera China memasuki zon bersempadannya, iaitu 44.4 kilometer (km) dari garis pantainya, tetapi berjaya menembak jatuh dron awam yang memasuki ruang udaranya berhampiran sebuah pulau kecil di luar pantai China tahun lalu.
Kuo-cheng berkata, Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) mungkin mencari alasan untuk memasuki kawasan yang berhampiran dengan ruang udara dan laut wilayah Taiwan ketika pulau itu meningkatkan pertukaran ketenteraannya dengan Amerika Syarikat (AS), yang menimbulkan kemarahan Beijing.
Beliau berkata, PLA mungkin membuat 'kemasukan mengejut' ke zon bersebelahan Taiwan dan mendekati ruang wilayahnya, yang ditakrifkan pulau itu sebagai 22.2 km dari garis pantainya.
"Saya menyatakan perkara ini secara khusus kerana yakin mereka sedang membuat persiapan dan akan menggunakan kekerasan jika benar-benar perlu," katanya ketika menjawab soalan daripada penggubal undang-undang di Parlimen.
Difahamkan, Taiwan juga berikrar untuk menggunakan haknya untuk mempertahankan diri dan serangan balas jika angkatan tentera China memasuki wilayahnya.
Kuo-cheng berkata, China sedang berusaha untuk menimbulkan masalah dengan alasan tertentu, selain mungkin termasuk lawatan ke pulau itu yang dibuat oleh pegawai kanan kerajaan asing atau hubungan ketenteraan Taiwan yang kerap dengan negara lain.
"PLA menghantar kira-kira 10 pesawat atau kapal ke kawasan berhampiran Taiwan setiap hari dan sebahagian daripada mereka melintasi garis tengah Selat Taiwan, yang biasanya berfungsi sebagai penampan tidak rasmi, hampir setiap hari.
"Sejak China memusnahkan perjanjian tersirat mengenai pergerakan ketenteraan di Selat, Taiwan membuat persiapan untuk melakukan tembakan pertama jika entiti China, termasuk dron atau belon, memasuki ruang wilayahnya," katanya. - REUTERS