Ahad, 5 March 2023 | 4:16pm
Perdana Menteri China Li Keqiang menyampaikan laporan kerja kerajaan semasa sesi pembukaan Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) China di Dewan Besar Rakyat di Beijing pada 5 Mac 2023. - Foto AP
Perdana Menteri China Li Keqiang menyampaikan laporan kerja kerajaan semasa sesi pembukaan Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) China di Dewan Besar Rakyat di Beijing pada 5 Mac 2023. - Foto AP

China berikrar lakukan penyatuan semula dengan Taiwan secara aman

BEIJING: Perdana Menteri China, Li Keqiang hari ini berikrar untuk melakukan 'penyatuan semula secara aman' dengan Taiwan termasuk mengambil langkah tegas menentang kemerdekaan negara itu.

Taiwan membalasnya bahawa Beijing harus menghormati komitmen rakyat negaranya terhadap demokrasi dan kebebasan.

Bercakap pada pembukaan mesyuarat tahunan Parlimen China, Keqiang berkata Beijing berpegang pada prinsip 'satu China' yang menyatakan Taiwan adalah sebahagian China, walaupun tidak secara langsung mengancam tindakan ketenteraan.

"Kerajaan harus melaksanakan dasar parti untuk menyelesaikan isu Taiwan dan mengambil langkah tegas untuk menentang kemerdekaan Taiwan dan menggalakkan penyatuan semula," kata Keqiang kepada kira-kira 3,000 perwakilan di Dewan Besar Rakyat Beijing.

"Kita harus menggalakkan pembangunan aman merentasi selat dan memajukan proses penyatuan semula secara aman China," tambahnya.

Dikatakan kebanyakan rakyat Taiwan tidak menunjukkan minat untuk diperintah oleh China yang autokratik.

Menyentuh mengenai aspek pertahanan, Keqiang mengarahkan angkatan tentera meningkatkan kesiapsiagaan tempur walaupun tidak menyebut Taiwan dalam konteks berkaitan.

Majlis Hal Ehwal Tanah Besar Taiwan yang membuat dasar China bertindak balas terhadap apa yang disebutnya sebagai 'pengesahan semula' Keqiang tentang dasar China terhadap Taiwan, dengan mengatakan Beijing harus menghadapi realiti bahawa kedua-dua belah Selat Taiwan 'tidak tunduk kepada satu sama lain'.

Justeru, katanya China harus menghormati komitmen rakyat Taiwan terhadap konsep teras yang berpegang teguh kepada kedaulatan, demokrasi dan kebebasan Republik China yang merujuk nama rasmi Taiwan.

China harus menangani hal ehwal rentas selat secara pragmatik dengan cara yang rasional, sama rata dan saling menghormati.

Ia bagi mewujudkan keadaan untuk interaksi sihat.

Di pihak Taiwan, Presidennya, Tsai Ing-wen berulang kali menawarkan rundingan dengan China yang didakwa ditolak Beijing kerana percaya negara itu sebagai pemisah.

Kerajaan Taiwan mempertikai sekeras-kerasnya tuntutan kedaulatan oleh Beijing dengan berkata, 23 juta penduduk negara itu boleh menentukan masa depan mereka.

Taiwan akan mengadakan Pilihan Raya Presiden dan Parlimen pada awal tahun depan dan sudah pasti terdapat kemungkinan ia berlangsung tegang dengan 'hal' berkaitan China mungkin akan mendominasi kempen. - REUTERS

Berita Harian X