Khamis, 2 March 2023 | 2:46pm
Salah satu jet pejuang PLA J-16 China yang dikesan menceroboh ruang udara Zon Pertahanan Taiwan. - Foto AP
Salah satu jet pejuang PLA J-16 China yang dikesan menceroboh ruang udara Zon Pertahanan Taiwan. - Foto AP

21 pesawat China ceroboh ruang udara Taiwan kali kedua

TAIPEI: Taiwan melaporkan 21 pesawat Beijing terbang menceroboh kawasan pertahanan udaranya buat kali kedua dalam tempoh 24 jam lalu, yang disifatkan sebagai kempen tekanan dan gertakan tentera China yang berterusan.

Pencerobohan tentera udara China berskala besar ke dalam zon pertahanan udara Taiwan itu berlaku buat kali kedua meskipun Taipei sudah mengemukakan bantahan ketika pencerobohan pertama.

Taiwan mengadu bahawa sejak tiga tahun lalu, peningkatan aktiviti ketenteraan China berhampiran pulau itu semakin ketara, dalam Beijing untuk menegaskan tuntutan kedaulatannya di kepulauan terbabit.

China berkata, aktiviti di kawasan itu adalah wajar kerana ia berusaha mempertahankan integriti wilayahnya dan memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) supaya tidak 'bersubahat' dengan Taiwan, walaupun Taipei menyuarakan kemarahan.

Kementerian Pertahanan Taiwan berkata, sebanyak 17 pejuang J-10 dan empat pejuang J-16, terbang ke sudut barat daya zon pengenalan pertahanan udara Taiwan hari ini manakala 19 pesawat dikesan di kawasan sama semalam.

Menurut kementerian itu, J-10, model pejuang lama yang mula beroperasi dua dekad lalu, terbang lebih dekat ke pantai China berbanding Taiwan, manakala J-16, pesawat pejuang yang lebih baru lagi maju, terbang di kawasan di timur laut Taiwan.

Pulau Pratas yang dipertahankan kedua-dua pihak, terletak secara strategik di bahagian atas Laut China Selatan dan banyak pesawat China terbang berdekatan.

Tentera Taiwan memantau keadaan itu, termasuk menghantar pesawat tentera udaranya sendiri.

Semalam, Kementerian Pertahanan Taiwan melaporkan 19 pesawat China terbang di zon pertahanan udara Taiwan, disusuli penerbangan 21 pesawat pada hari ini. - REUTERS

Berita Harian X