Isnin, 27 Februari 2023 | 12:04pm
Remaja Palestin membakar tayar semasa protes berhampiran sempadan Israel-Gaza, timur Kota Gaza pada 26 Februari 2023. - Foto AFP
Remaja Palestin membakar tayar semasa protes berhampiran sempadan Israel-Gaza, timur Kota Gaza pada 26 Februari 2023. - Foto AFP

2 warga Israel, seorang lelaki Palestin terbunuh di Tebing Barat, ketika rundingan Jordan

HUWARA: Dua warga Israel yang tinggal di penempatan di Tebing Barat terbunuh semalam dalam serangan didakwa dicetuskan oleh rakyat Palestin, kata pegawainya.

Dalam insiden itu, seorang lelaki Palestin turut terbunuh manakala kumpulan peneroka bertindak membakar kediaman mereka bagi membalas dendam.

Ia berlaku di tengah-tengah rundingan dibuat oleh Jordan untuk membincangkan keganasan yang semakin memburuk di wilayah yang diduduki itu dan beberapa hari selepas tentera Israel melancarkan serangan paling dahsyat di Tebing Barat dalam tempoh hampir 20 tahun, yang menyebabkan 11 rakyat Palestin terbunuh di bandar utara Nablus.

Menurut Israel, serangan ke atas dua orang peneroka itu berlaku di selatan bandar berkenaan, menyasarkan sebuah kereta di jalan utama melalui bandar Huwara.

Kenyataan bersama dikeluarkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Menteri Keselamatan, Itamar Ben-Gvir mengesahkan 'dua orang awam Israel terbunuh dalam serangan didakwa dilakukan oleh warga Palestin'.

Jurucakap perkhidmatan tindak balas kecemasan, Magen David Adom (MDA) memberitahu AFP, dua individu yang cedera telah dibawa ke hospital, namun kemudiannya disahkan meninggal dunia.

Tentera Israel berkata, mereka 'mengejar suspek dan melakukan sekatan di kawasan itu' selepas insiden tembakan berkenaan.

Jelasnya, setakat ini, masih belum ada mana-mana kumpulan mengaku bertanggungjawab atas insiden berdarah itu.

Jurucakap Majlis Wilayah Shomron, yang mentadbir penempatan Israel di bahagian utara wilayah Palestin, menamakan mereka yang terbunuh sebagai Yagel Yaniv, 20, dan abangnya Hallel Yaniv, 22.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan komuniti penduduk, mereka adalah penduduk Har Bracha, sebuah penempatan Yahudi yang berdekatan dengan Nablus.

Lewat malam tadi, agensi berita Palestin turut melaporkan beberapa peneroka Israel membakar beberapa kediaman warga Palestin di perkampungan berdekatan Nablus.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan warga Palestin, Sameh Aqtash, 37, ditembak mati di kampung Zaatara dekat Nablus. - AFP

Berita Harian X