Ahad, 26 Februari 2023 | 11:50pm
Aktivis Palestin bertopeng memijak gambar Menteri Keselamatan Kebangsaan Israel, Itamar Ben-Gvir, sambil membakar satu lagi gambar, ketika protes mengutuk perjumpaan damai ketua keselamatan Israel-Palestin diselaras Jordan di Aqaba, dalam kem pelarian di Jenin. - Foto REUTERS

Perjumpaan pertama ketua keselamatan Israel-Palestin diadakan

AMMAN: Jordan hari ini menjadi tuan rumah bagi pertemuan antara pegawai tertinggi Israel dan Palestin dalam cubaan menghentikan keganasan yang semakin meningkat.

Pertemuan itu diadakan ketika Washington dan sekutu Arabnya berusaha meredakan ketegangan, yang mencetuskan kebimbangan ia akan meningkat secara ketara.

Perbincangan itu adalah sebahagian daripada diplomasi Jordan yang dipertingkatkan dengan Washington dan Mesir untuk menangani keganasan, ketika kebimbangan meningkat menjelang bulan suci Ramadan yang bermula pada akhir Mac ini.

Pertemuan di pelabuhan Laut Merah Aqaba itu menghimpunkan ketua keselamatan Israel dan Palestin buat pertama kali dalam tempoh beberapa tahun, bertujuan memulihkan keamanan di Tebing Barat yang diduduki Israel dan Semenanjung Gaza.

Pejuang Palestin bersenjata menghadiri sidang akhbar mengutuk perjumpaan damai ketua keselamatan Israel-Palestin diselaras Jordan di Aqaba, dalam kem pelarian di Jenin. Foto REUTERS
Pejuang Palestin bersenjata menghadiri sidang akhbar mengutuk perjumpaan damai ketua keselamatan Israel-Palestin diselaras Jordan di Aqaba, dalam kem pelarian di Jenin. Foto REUTERS

Penasihat Asia Barat Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden, Brett McGurk, hadir bersama pegawai Jordan dan Mesir pada perjumpaan itu.

Seorang pegawai kanan Jordan berkata pertemuan itu bertujuan memulihkan keamanan sambil memberi harapan kepada rakyat Palestin berhubung masa depan politik negara itu di tanah yang diduduki Israel sejak perang 1967, termasuk Baitulmaqdis Timur.

Radio Tentera Israel berkata kedua-dua pihak mungkin membincangkan langkah untuk meningkatkan pasukan keselamatan Palestin di Tebing Barat serta kemungkinan mengekang perluasan penempatan Israel.

Akhbar Israel, Maariv, memetik Penasihat Keselamatan Negara, Tzachi Hanegbi, sebagai berkata: "Perbincangan diadakan dengan AS mengenai cara mewujudkan suasana baharu dengan menamatkan langkah sehala yang diambil (Israel) sejak beberapa bulan lalu.

"Kami bersedia (menerima) tawaran itu," katanya.

Warga Palestin yang lari meninggalkan Sudan tiba di lintasan Rafah di selatan Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS
Warga Palestin yang lari meninggalkan Sudan tiba di lintasan Rafah di selatan Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS

Beberapa puak Palestin daripada kumpulan bersenjata dalam aliran utama Fatah, Islam Hamas dan Jihad Islam menggesa pihak berkuasa Palestin (PA) untuk menarik diri daripada mesyuarat itu, menyifatkannya sebagai muslihat diketuai AS menentang aspirasi Palestin.

Ketua Jihad Islam yang berpangkalan di Damsyik, Ziyad al Nakhla, menerima panggilan daripada pegawai kanan Iran, Ali Akbar Velayati, yang menyatakan sokongan terhadap 'tentangan rakyat Palestin'.

Di Gaza, puluhan pelajar universiti mengadakan perhimpunan untuk membantah mesyuarat Aqaba dan aktivis bertopeng membakar gambar menteri Israel, Itamar Ben Gvir.

PA berkata delegasinya akan menggesa Israel untuk menamatkan penempatannya di Tebing Barat dan bergerak ke arah perjanjian damai yang menyokong penyelesaian dua negara dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya. - REUTERS

Berita Harian X