Jumaat, 24 Februari 2023 | 8:22pm
Kawasan penempatan Yahudi yang diceroboh di Givat Harel, Tebing Barat. - Foto AP
Kawasan penempatan Yahudi yang diceroboh di Givat Harel, Tebing Barat. - Foto AP

Penduduk Israel tembak, cederakan 2 rakyat Palestin di Tebing Barat

BAITULMAQDIS: Rakyat Israel menembak dan mencederakan dua warga Palestin di utara Tebing Barat, yang disifatkan sebagai insiden terbaru membabitkan keganasan penduduk di kawasan berkenaan.

Kementerian Kesihatan Palestin berkata, dua warga Palestin yang cedera berkenaan dirawat di sebuah hospital di kampung Qusra, berhampiran bandar Nablus, Tebing Barat.

Bagaimanapun pihaknya tidak dapat mengenal pasti identiti lelaki berkenaan.

Menurut Pegawai Palestin yang memantau penempatan Israel di wilayah Nablus, Ghassan Douglas berkata, sekumpulan rakyat Israel yang bersenjata daripada pos berdekatan turun ke kawasan kampung berkenaan.

"Seorang daripada rakyat Israel berkenaan melepaskan tembakan ke arah penduduk dan tembakan berkenaan dikatakan terkena pada seorang lelaki di bahagian perut dan seorang lagi di paha, namun tembakan berkenaan tidak dibalas semula," katanya.

Sementara itu, tentera Israel berkata, anggotanya sudah diarahkan pergi ke kawasan berkenaan untuk menyuraikan konfrontasi berkenaan.

Pada awal bulan ini, seorang warga Israel menembak dan membunuh seorang warga Palestin di bandar pertanian Salfit.

Tambah Douglas, kejadian seperti itu boleh dilihat di kawasan berkenaan pada setiap beberapa minggu dan ia dilihat keganasan warga Israel berkenaan adalah sebagai cubaan untuk mengusir penduduk kampung dari tanah mereka yang diceroboh.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) merekodkan lebih 630 serangan warga Israel terhadap penduduk Palestin di Tebing Barat tahun lalu, meningkat daripada 496 pada 2021 termasuk kerosakan harta benda serta serangan fizikal.

Dalam perang Timur Tengah 1967, Israel menawan kawasan Tebing Barat terutamanya Baitulmaqdis timur dan Semenanjung Gaza, manakala rakyat Palestin mencari tanah berkenaan demi sebuah negara yang merdeka.

Sekurang-kurangnya 700,000 rakyat Israel kini tinggal di puluhan penempatan yang berada di Tebing Barat dan dikawal oleh tentera Israel. - AP

Berita Harian X