Selasa, 21 Februari 2023 | 4:11pm
Presiden Taiwan, Tsai Ing-wenn (kanan) bertemu wakil California, Ro Khanna (kiri), di Pejabat Presiden di Taipei, Taiwan. - Foto AP
Presiden Taiwan, Tsai Ing-wenn (kanan) bertemu wakil California, Ro Khanna (kiri), di Pejabat Presiden di Taipei, Taiwan. - Foto AP

Taiwan kukuhkan hubungan ketenteraan dengan AS

TAIPEI: Taiwan bakal memperhebat pertukaran ketenteraan dengan Amerika Syarikat (AS) bagi membendung peluasan kuasa autokratik, terutama oleh China.

Perkembangan itu dimaklumkan Presiden, Tsai Ing-wen, selepas pertemuan bersama delegasi penggubal undang-undang AS di pejabatnya dekat Taipei.

Beliau berkata, sudah tiba masa 'untuk meneroka lebih banyak peluang kerjasama' antara AS dan Taiwan, namun tidak mendedahkan perincian pertukaran berkenaan.

"Taiwan dan AS akan terus meningkatkan pertukaran tentera. Di masa hadapan, Taiwan akan bekerjasama dengan lebih aktif dengan AS dan rakan demokrasi lain bagi menghadapi cabaran global seperti perubahan iklim dan peluasan kuasa autokratik.

"Kita bersama-sama mampu untuk terus menjaga nilai demokrasi dan kebebasan," katanya.

Lawatan itu dibuat selepas seorang pegawai tertinggi pertahanan AS dilapor membuat persinggahan yang jarang berlaku ke Taiwan ketika ketegangan Washington-Beijing memuncak susulan dakwaan belon pengintip China.

China mendakwa Taiwan adalah sebahagian daripada wilayahnya serta berikrar untuk merebutnya suatu hari nanti, selain menentang sebarang pertukaran rasmi dengan demokrasi dan bertindak balas dengan kemarahan terhadap lawatan ahli politik AS ke pulau itu sejak beberapa tahun lalu.

Hubungan Beijing-AS semakin tegang dengan China menyuarakan kemarahan terhadap laporan Financial Times mengenai lawatan Timbalan Penolong Setiausaha Pertahanan AS bagi China, Michael Chase.

Laporan itu berkata Michael adalah pegawai Pentagon paling kanan yang melawat pulau itu sejak 2019. - AFP

Berita Harian X