BEIJING: China hari ini, menafikan dakwaan bercadang membekalkan senjata kepada Russia sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas Ukraine, seperti didakwa Amerika Syarikat (AS).
Menjawab tuduhan itu, jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin, berkata AS yang membekalkan senjata ke medan perang, bukannya China.
"Kami menggesa AS supaya mencermin diri secara jujur dan mengambil lebih tindakan bagi meredakan keadaan dan sebaliknya menggalakkan keamanan serta dialog tanpa menuding jari kepada orang lain atau menyebarkan maklumat palsu," katanya.
Kenyataan itu dibuat selepas Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, pada temu bual bersama CBS, mendakwa China kini 'mempertimbangkan untuk memberi sokongan maut' kepada Moscow, 'daripada peluru hingga senjata'.
Beliau membuat komen sama dalam siri wawancara dari Jerman, ketika menghadiri Persidangan Keselamatan Munich dan bertemu dengan rakan sejawatnya dari China, Wang Yi, Sabtu lalu.
Dakwaan Blinken muncul ketika hubungan China-AS semakin tegang selepas Washington menembak jatuh alat yang didakwa belon pengintip China.
Wujud kerisauan bahawa China mengeratkan hubungan dengan Russia biarpun terdapat konflik, namun Yi berkata Beijing memainkan peranan membina dengan berpegang teguh kepada dialog sebagai penyelesaian.
"Kami tidak boleh terima tuduhan AS mengenai hubungan China-Russia, apatah lagi paksaan dan tekanan. Hala tuju China mengenai isu Ukraine boleh dirumuskan dalam satu kesimpulan iaitu menggesa keamanan dan menggalakkan dialog," kata Wenbin. - AFP