Ahad, 19 Februari 2023 | 7:37pm
Anggota polis memeriksa runtuhan bangunan yang musnah akibat serangan roket Israel di Kafr Sousa di tengah Damsyik, Syria. - Foto REUTERS
Anggota polis memeriksa runtuhan bangunan yang musnah akibat serangan roket Israel di Kafr Sousa di tengah Damsyik, Syria. - Foto REUTERS

Tentera Israel bunuh 15 orang di ibu negara Syria

BEIRUT: Serangan udara Israel di Syria mengorbankan 15 orang dan merosakkan bangunan di daerah Damsyik yang menempatkan beberapa agensi keselamatan negara, kata kumpulan pemantau perang.

Orang awam, termasuk dua wanita antara yang terbunuh dalam serangan Israel yang paling dahsyat di ibu negara Syria setakat ini, kata ketua pejabat pemantau Syria untuk Hak Asasi Manusia, Rami Abdel Rahman.

Serangan itu merosakkan bangunan 10 tingkat berhampiran pusat kebudayaan Iran di daerah Kafr Sousa, yang menempatkan pegawai kanan dan ibu pejabat perisikan Syria, kata pejabat pemantau yang berpangkalan di Britain.

Sasaran sebenar serangan tidak diketahui namun AFP melaporkan terdapat kesan kawah besar dan sisa runtuhan serta tingkap bangunan berdekatan turut musnah.

Peluru berpandu lain meletupkan gudang milik pejuang Iran dan Hizbullah pro-rejim berhampiran Damsyik, kata pejabat pemantau yang bergantung pada rangkaian luas sumber di dalam Syria.

Kementerian pertahanan Syria mengesahkan angka awal kematian termasuk seorang askar, dan 15 orang awam yang cedera serta beberapa daripada mereka dikatakan berada dalam keadaan kritikal susulan serangan di Kafr Sousa sejurus selepas tengah malam itu.

"Pada awal pagi, musuh Israel melakukan pencerobohan udara dari arah Bukit Golan menyasarkan beberapa kawasan di Damsyik dan sekitarnya, termasuk kawasan perumahan," katanya.

"Pasukan pertahanan Syria menembak jatuh beberapa peluru berpandu", tambah kementerian itu dalam kenyataannya.

Jurucakap tentera Israel pada Ahad hanya berkata Israel tidak mengulas mengenai laporan di media asing.

Akhir tahun lalu, ketua Direktorat Operasi Pasukan Pertahanan Israel, Mejar Jeneral Oded Basiuk, ketika membentangkan tinjauan operasi untuk 2023 berkata tentera tidak akan menerima Hizbullah 2.0 di Syria.

Di Tehran, jurucakap kementerian luar Nasser Kanani mengutuk sekeras-kerasnya serangan rejim Zionis terhadap sasaran di Damsyik dan pinggir bandarnya, termasuk terhadap bangunan kediaman tertentu.

"Serbuan itu menyebabkan rakyat Syria yang tidak bersalah mati dan cedera," katanya.

Serangan terbaru itu berlaku lebih sebulan selepas serangan peluru berpandu Israel menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik, mengorbankan empat orang, termasuk dua tentera.

Serangan 2 Januari lalu melanda kedudukan kumpulan Hizbullah dan pro-Iran di dalam lapangan terbang dan berdekatan, termasuk gudang senjata, kata Observatory pada masa itu.

Kerajaan Damsyik kini sedang berusaha untuk pulih daripada gempa bumi yang melanda pada 6 Februari lalu.

Walaupun tidak menjejaskan ibu negara, jumlah korban akibat gempa bumi di seluruh utara dan selatan Turki mencecah 43,000 orang. - AFP

Berita Harian X