Ahad, 19 Februari 2023 | 7:37am
Serangan Israel membunuh 15 individu di Damascus. - Foto hiasan AFP
Serangan Israel membunuh 15 individu di Damascus. - Foto hiasan AFP

5 maut dalam serangan Israel

AMMAN: Seramai lima orang terbunuh selepas serangan roket Israel memusnahkan sebuah bangunan di kejiranan Kafr Sousa, Damsyik, berhampiran kompleks keselamatan, awal pagi tadi.

Serangan bersasar itu merosakkan beberapa bangunan di daerah yang padat dengan penduduk berhampiran dataran Omayyad di tengah ibu negara, iaitu tempat bangunan keselamatan diletakkan dalam kawasan perumahan.

Seorang pegawai polis berkata, terdapat beberapa mangsa yang terkorban dan cedera.

Jurucakap tentera Israel bagaimanapun enggan mengulas.

Memetik sumber tentera, media kerajaan berkata, Israel melakukan serangan udara yang menyasarkan beberapa kawasan di ibu negara sejurus selepas tengah malam.

Tindakan itu menyebabkan lima kematian dan 15 kecederaan dalam kalangan orang awam dan kerosakan kepada beberapa bangunan kediaman.

Pihak tentera dalam kenyataa berkata, serangan itu menyebabkan kerosakan kepada beberapa rumah orang awam dan beberapa kawasan kejiranan di Damsyik serta sekitarnya.

Tidak jelas sama ada serangan itu ditujukan kepada individu tertentu.

Komander tertinggi Pro-Iran Hizbullah, Imad Moughniyeh terbunuh pada 2008 dalam pengeboman di Kafr Sousa, kawasan yang dikawal ketat.

Selama hampir sedekad, Israel melakukan serangan udara terhadap pemindahan senjata yang dipercayai ditaja Iran dan penempatan kakitangan di Syria.

Israel bagaimanapun jarang mengaku tanggungjawab terhadap operasi berkenaan.

Menurut sumber perisikan Barat, Iran meluaskan kehadiran tenteranya di Syria sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan bertapak di kebanyakan kawasan yang dikuasai kerajaan dengan beribu-ribu anggota dan kumpulan separa tentera tempatan di bawah perintahnya.

Israel juga sejak beberapa bulan kebelakangan ini memperhebat serangan ke atas lapangan terbang dan pangkalan udara Syria bagi mengganggu peningkatan penggunaan talian bekalan udara Iran untuk menghantar senjata kepada sekutu di Syria dan Lubnan, termasuk Hizbullah Lubnan yang disokong Iran.

Serangan itu sebahagian daripada peningkatan konflik dengan matlamatnya untuk memperlahank kuasa Iran yang semakin meningkat di Syria.

Kehadiran tentera Iran diperkuat menerusi proksi yang diketuai oleh Hizbullah Lubnan, dan kini menguasai kawasan di timur, selatan dan barat laut Syria dan di beberapa pinggir bandar di sekitar ibu negara.

Kerajaan Presiden Syria, Bashar al-Assad tidak pernah secara terbuka mengakui tentera Iran beroperasi bagi pihaknya dalam perang saudara Syria, sebaliknya mengatakan Tehran hanya mempunyai penasihat tentera di lapangan. - REUTERS

Rakaman lama bandar Damascus, Syria. - Foto hiasan REUTERS
Rakaman lama bandar Damascus, Syria. - Foto hiasan REUTERS

Berita Harian X