Khamis, 16 Februari 2023 | 9:38am
Pesawat AS sebelum menembak jatuh belon pengintip China di luar pantai Carolina Selatan awal bulan ini. - Foto AP
Pesawat AS sebelum menembak jatuh belon pengintip China di luar pantai Carolina Selatan awal bulan ini. - Foto AP

China dakwa belon AS terbang di ruang udara Xinjiang, Tibet

BEIJING: China akan mengambil tindakan terhadap Amerika Syarikat (AS) kerana menjejaskan kedaulatannya selepas belon beraltitud tinggi didakwa milik negara itu melintasi ruang udara wilayah Xinjiang dan Tibet.

Washington dan Beijing sebelum ini bertikam lidah susulan pesawat AS menembak jatuh belon pengintip China di pantai Carolina Selatan.

Beijing berkata, Washington bertindak keterlaluan terhadap kapal penyelidikan awamnya yang tersilap diterbangkan.

China kemudiannya membalas kenyataan itu dengan mendakwa belon AS terbang ke ruang udaranya tanpa kebenaran lebih daripada 10 kali sejak Mei 2022.

"Tanpa kelulusan pihak berkuasa China yang berkaitan, ia (belon) terbang secara haram sekurang-kurangnya 10 kali melintasi ruang udara wilayah China, termasuk Xinjiang, Tibet dan wilayah lain," kata jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin dalam taklimat harian yang diadakan.

Bagaimanapun, Rumah Putih menafikan dakwaan yang dikeluarkan oleh China itu.

Washington turut menambah enam syarikat China yang didakwa mempunyai kaitan dengan belon pengawasan Beijing itu ke dalam senarai hitam bagi sektor pengeksportan.

"AS menyalahgunakan kuasa, bertindak berlebihan dengan menggunakan alasan ini untuk menyekat syarikat dan institusi China secara haram," katanya.

Pertikaian berhubung belon itu sekali gus melambatkan usaha kedua-dua negara untuk membaiki hubungan walaupun Presiden Joe Biden berkata perkara itu tidak akan menjejaskan hubungan dua negara berkenaan.

Sementara itu, sumber berkata Setiausaha AS, Antony Blinken, yang sebelum ini menangguhkan lawatan ke Beijing akan mempertimbangkan untuk bertemu dengan diplomat tertinggi China, Wang Yi di Munich minggu ini. - REUTERS

Berita Harian X