BEIJING/WASHINGTON: China mendakwa belon altitud tinggi Amerika Syarikat (AS) pernah melintasi ruang udaranya tanpa kebenaran sebanyak lebih 10 kali sejak awal 2022, namun tuduhan itu segera disangkal oleh Washington.
"Sejak tahun lalu, belon altitud tinggi AS telah melakukan lebih 10 lintasan haram ke ruang udara China, iaitu tanpa kebenaran jabatan berkaitan di China," kata jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin, ketika menjawab soalan pada sesi taklimat di Beijing.
Namun, Wenbin tidak memberikan gambaran khusus mengenai belon terbabit sama ada ia berunsur ketenteraan atau untuk tujuan pengintipan, selain tidak memberi butiran lanjut.
Bagaimanapun, Rumah Putih segera menafikan tuduhan China itu dengan jurucakap Majlis Keselamatan Nasional, Adrienne Watson, mendakwanya sebagai usaha Beijing untuk menutup kesalahan.
"Sebarang tuduhan bahawa Kerajaan AS mengendalikan belon pengawasan ke atas China adalah palsu," katanya dalam satu kenyataan. - REUTERS