Ahad, 12 Februari 2023 | 9:39am
Mayat Mithkal Suleiman Rayyan dibawa ke bilik mayat hospital, di Salfit di Tebing Barat yang diduduki pada 11 Februari 2023. - Foto AFP
Mayat Mithkal Suleiman Rayyan dibawa ke bilik mayat hospital, di Salfit di Tebing Barat yang diduduki pada 11 Februari 2023. - Foto AFP

Pemuda Palestin mati ditembak di kepala di Tebing Barat

SALFIT: Seorang pemuda Palestin terbunuh selepas ditembak di kepala dalam pertelingkahan dengan penduduk Yahudi di Tebing Barat semalam.

Kementerian Kesihatan Palestin berkata, Mithkal Suleiman Rayyan, 27, disahkan meninggal dunia dengan kesan tembakan di kepalanya berhampiran kampung Qarawan Bani Hassan di selatan bandar Nablus.

Tentera Israel pula mendakwa, pihaknya dimaklumkan mengenai kematian lelaki berkenaan selepas berlaku perkelahian antara puluhan rakyat Palestin dan Israel di kampung berkenaan.

"Anggota tentera dikerah ke lokasi kejadian dan terpaksa melepaskan tembakan ke udara bagi menghentikan pergaduhan itu," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, wakil majlis penduduk penempatan Yahudi di Tebing Barat mendakwa sekumpulan penduduk dari komuniti Havat Yair yang sedang berjalan, diserang beberapa pemuda Palestin sebelum tembakan dilepaskan ke udara.

Pertelingkahan sedemikian sering berlaku di Tebing Barat yang mana kira-kira 475,000 penduduk Yahudi, tidak termasuk mereka di timur Baitulmaqdis, tinggal dalam kalangan 2.8 juta rakyat Palestin.

Sebelum ini, Setiausaha Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken, mengadakan lawatan ke Israel dan Tebing Barat selain mengadakan rundingan dengan Israel serta Palestin bagi menghentikan pertumpahan darah. - AFP

Berita Harian X