TAIPEI: Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen dan Naib Presiden, William Lai masing-masing menyumbangkan sebulan gaji mereka kepada misi bantuan gempa bumi Turkiye.
Menurut pejabat presiden, Ing-wen dan Lai yang dijangka mempertahankan jawatan masing-masing pada pilihan raya presiden tahun depan, berharap dapat memainkan peranan mereka untuk membantu Turkiye membaik pulih negara mereka secepat mungkin.
Turkiye seperti kebanyakan negara lain, tidak memiliki hubungan diplomatik dengan Taiwan, namun kedua-dua negara masih mengekalkan kedutaan di ibu negara masing-masing, malah terdapat penerbangan terus antara Istanbul dan Taipei.
Selain menyumbangkan gajinya, Ing-wen hari ini melawat kedutaan Turkiye di Taipei dan menandatangani buku merakamkan takziah.
"Hati saya bersama sahabat dan rakyat Turkiye. Taiwan menyokong Turkiye," tulisnya.
Tahun lalu, Ing-wen dan Lai masing-masing menyumbangkan sebulan gaji mereka untuk membantu misi kemanusiaan perang di Ukraine.
Pendapatan Ing-wen sebulan adalah sebanyak T$400,000 (RM57,376).
Setakat ini, jumlah korban akibat bencana gempa bumi di Turkiye mencecah angka 15,000 mangsa.
Taiwan yang kerap dilanda bencana sama, mengumumkan bantuan bernilai AS$2 juta (RM8.62 juta) dan menghantar dua pasukan penyelamat bagi membantu pihak berkuasa Turkiye.
Dalam ucapannya menerusi panggilan video kepada pasukan Taiwan, Ing-wen merakamkan penghargaan kepada semua anggota di lapangan.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua anggota kerana tidak takut kepada kesukaran dan memberikan usaha sepenuhnya supaya Turkiye dan Taiwan dapat membantu antara satu sama lain," katanya. - REUTERS