TAOYUAN: Timbalan pengerusi parti pembangkang utama Taiwan, Kuomintang (KMT), Andrew Hsia, memaklumkan tiada pertemuan diatur antara beliau dengan Presiden China, Xi Jinping, dalam kunjungannya ke Beijing, hari ini.
Hsia, bekas diplomat kanan Taiwan dan pernah menjadi ketua Majlis Hal Ehwal Tanah Besar yang membuat dasar China, akan ke Beijing dalam situasi ketegangan yang semakin memuncak, ketika China meningkatkan tekanan ketenteraan untuk menegaskan tuntutan kedaulatannya ke atas Taiwan.
Bercakap kepada pemberita di lapangan terbang utama Taiwan di Taoyuan, Hsia berkata, beliau akan bertemu ketua Pejabat Hal Ehwal Taiwan di China yang baru dilantik, Song Tao, namun akan mengikut apa saja yang diatur tuan rumah.
"Bagi Xi Jinping, tidak ada pengaturan sedemikian. Dalam dokumen yang diserahkan kepada Majlis Hal Ehwal Tanah Besar, (saya katakan saya akan) bertemu Pengarah Pejabat Hal Ehwal Taiwan, Song Tao.
"Bagi yang lain, kami sentiasa bersikap bahawa tetamu kami adalah hak tuan rumah dan jika mereka membuat pengaturan, kami tidak akan mengecualikannya," katanya.
Parti Progresif Demokratik (DPP) yang memerintah Taiwan menggunakan kunjungan itu untuk menyerang KMT sebagai terlalu rapat dengan Beijing dan didakwa mahu menjual Taiwan serta mengkritik Hsia kerana memberi penghormatan kepada komunis.
KMT secara tradisinya memihak kepada hubungan rapat dengan China, namun menafikan sekeras-kerasnya sebagai pro-Beijing.
Hsia berkata, beliau ke Beijing kerana adalah penting untuk bercakap dengan China dan "tidak akan melakukan apa-apa bersifat politik".
"Kami akan mengikut rentak kami sendiri dan hanya kepentingan Republik China dan Taiwan dalam fikiran kami," katanya.
Kali terakhir Hsia melawat China adalah pada Ogos, sejurus selepas Beijing mengadakan latihan perang berdekatan Taiwan bagi menyatakan kemarahannya terhadap lawatan Speaker Dewan Rakyat Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi, yang mencetuskan kritikan daripada kerajaan Taiwan, malah daripada partinya sendiri disebabkan masa lawatan itu.
China tidak berhubung dengan pentadbiran Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen sejak beliau memegang jawatan pada 2016 dan percaya Ing-wen ialah seorang pemisah serta menolak permintaan yang kerap daripadanya supaya dialog disambung semula. - REUTERS