TAIPEI: Seorang pemimpin kanan Parti Kuomintang (KMT) iaitu pembangkang utama Taiwan, akan berkunjung ke China minggu ini untuk bertemu pembuat dasar utama negara itu.
Lawatan ke republik itu dilakukan di tengah-tengah ketegangan ketenteraan dan politik berterusan antara kedua belah pihak.
Sejak tiga tahun lalu, China meningkatkan tekanan ke atas Taiwan untuk menerima kedaulatan republik itu, termasuk untuk mengadakan latihan ketenteraan biasa berhampiran pulau yang ditadbir secara demokirasi itu.
Bagaimanapun, kerajaan Taiwan menolak tuntutan wilayah oleh China.
Dalam satu kenyataan, KMT memaklumkan timbalan pengerusinya, Andrew Hsia akan berlepas ke China Rabu ini untuk bertemu Ketua Pejabat Hal Ehwal Taiwan-China yang baru dilantik, Song Tao.
Pertemuan itu disifatkan interaksi peringkat tinggi yang jarang berlaku antara pemimpin politik terkemuka sama ada dari Taiwan ataupun China, mengambil kira tekanan semasa.
Hsia, bekas diplomat Taiwan dan pernah dilantik ketua majlis hal ehwal tanah besar Taiwan serta delegasinya akan mengadakan pertukaran dan dialog atas dasar kesaksamaan serta maruah, jelas KMT.
"Pertemuan itu mencerminkan kebimbangan umum terkini Taiwan mengenai keselamatan di Selat Taiwan dan jangkaan untuk keamanan dan kestabilan serantau," jelas KMT.
Difahamkan KMT secara tradisinya cenderung memihak hubungan rapat dengan China, tetapi sekeras-kerasnya menafikan pihaknya sebagai pro-Beijing.
Pejabat Hal Ehwal Taiwan-China pula berkata, pihaknya mengalu-alukan kunjungan Hsia ke republik itu.
Hsia pernah mengadakan lawatan ke China Ogos lalu, sejurus selepas Beijing menjalankan latihan peperangan berhampiran Taiwan kerana berang susulan kunjungan oleh Speaker Dewan Rakyat AS, Nancy Pelosi ke Taipei.
Namun, langkah itu dikritik kerajaan Taiwan.
China enggan bercakap dengan pentadbiran Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen sejak beliau mula memegang jawatan itu pada 2016 kerana percaya pemimpin wanita itu seorang pemisah selain China juga dikatakan kerap menolak panggilan yang dibuat oleh Ing-wen supaya dialog disambung semula. - REUTERS