WELLINGTON: Dua maut, dan dua lagi mangsa dilaporkan hilang susulan kejadian hujan lebat di Auckland menyebabkan banjir di seluruh bandar terbesar New Zealand itu.
Mayat dua lelaki ditemui lemas dalam dua kejadian berasingan di pinggir bandar utara, kata polis.
Banjir turut menghanyutkan seorang lelaki di sebuah komuniti di selatan Auckland, dan seorang lagi tidak dapat dikesan selepas tanah runtuh meruntuhkan sebuah rumah di pusat bandar.
Banjir kilat menyebabkan kebanyakan jalan di Auckland dilimpahi air dan cuaca buruk turut mengakibatkan lapangan terbang bandar itu ditutup sementara kerana dinaiki air setinggi buku lali di beberapa terminal.
Pihak berkuasa lapangan terbang berkata, tidak akan ada penerbangan masuk atau keluar dari kemudahan itu sebelum tengah hari ini.
Perdana Menteri New Zealand, Chris Hipkins, yang baru mengangkat sumpah Rabu lalu selepas peletakan jawatan mengejut Jacinda Ardern, menulis di Twitter bahawa agensi kerajaan berusaha keras untuk membantu.
"Saya dinasihatkan bahawa pergerakan di sekitar Auckland kekal sukar," katanya yang terpaksa menangguhkan lawatannya ke Auckland.
Hipkins berkata, pusat pengurusan krisis nasional, yang terletak di bawah bangunan Parlimen di ibu negara Wellington turut membantu menyelaraskan tindak balas kecemasan.
Perkhidmatan kecemasan dibanjiri dengan panggilan memohon bantuan ketika pegawai pertahanan awam memberi amaran kepada penduduk untuk tinggal di rumah.
Penduduk Auckland digesa untuk menghubungi perkhidmatan kecemasan sahaja jika menghadapi bahaya mengancam nyawa.
Datuk Bandar Auckland, Wayne Brown berkata kerja pembersihan bandar Auckland akan menjadi cabaran yang besar. - AFP