BEIJING: Human Right Watch (HRW) mendakwa puluhan penunjuk perasaan masih ditahan di China selepas mengambil bahagian dalam bantahan meluas terhadap dasar Sifar COVID-19 kerajaan pada November tahun lalu.
Bagaimanapun, jumlah sebenar yang ditahan dan lokasi mereka ditempatkan masih tidak diketahui.
Pada November lalu, penunjuk perasaan berkumpul di bandar di seluruh negara bagi menggesa penamatan sekatan paling ketat terhadap COVID-19 di negara itu selain menuntut kebebasan politik.
Parti Komunis yang memerintah China menamatkan strategi tegar bagi membendung pandemik pada bulan lalu selepas lonjakan kes menyebabkan kebanjiran pesakit dimasukkan ke hospital dan kematian.
Media tempatan melaporkan baru-baru ini bahawa pihak berkuasa China secara senyap menahan penunjuk perasaan yang jumlah tidak diketahui termasuk pelajar universiti dan wartawan.
Semalam, HRW menggesa Beijing membebaskan segera dan menggugurkan semua kes terhadap penunjuk perasaan dalam protes 'kertas putih', yang mana kertas kosong merujuk kepada tentangan terhadap sistem penapisan negara.
Sehubungan itu, penyelidik kanan China yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS). Yaqiu Wang, menggesa kerajaan dan institusi antarabangsa memberi sokongan dengan menggesa pihak berkuasa China membebaskan segera tahanan berkenaan.
"Golongan muda di China membayar harga tinggi kerana berani bersuara mengenai kebebasan dan hak asasi manusia," katanya.
Setakat ini kerajaan China tidak mengulas panjang mengenai protes terbabit walupun dilakukan secara besar-besaran di bandar utama seperti Beijing dan Shanghai, malah langsung tidak melaporkan mengenai sebarang penahanan.
Bagaimanapun, peserta protes yang lain dan anggota keluarga tahanan mengesahkan kepada AFP bahawa masih ada yang ditahan sejak November lalu.
Minggu lalu, kumpulan Pelindung Hak Asasi Manusia China, berkata jumlah penahanan yang diketahui setakat ini mungkin hanya sebilangan kecil dan memberi amaran tahanan mungkin berisiko 'hilang atau diseksa'. - AFP