SHANGHAI: Pemerhati Hak Asasi Manusia (HRW) mendakwa beberapa penunjuk perasaan masih ditahan di penjara China selepas mengambil bahagian dalam kejadian protes antikerajaan tahun lalu.
Selepas tiga tahun, tercetus kejadian protes di bandar seluruh China yang mendesak pemansuhan penguatkuasaan ketat polisi sifar-COVID-19 di negara itu pada akhir November lalu.
Ramai penunjuk perasaan memegang helaian kertas putih kosong yang menjadi simbol ketidakpuasan hati mereka.
Beberapa penunjuk perasaan juga melaungkan slogan yang menggesa agar Presiden Republik China, Xi Jinping digulingkan.
Protes berkenaan tidak pernah berlaku sejak dekad pemerintahan Jinping yang menyaksikan tindakan keras berlaku.
Perkara berkenaan semakin buruk terhadap perbezaan pendapat dan terhenti dalam beberapa hari dengan kehadiran polis yang ramai.
Ramai individu ditangkap dan kemudiannya dibebaskan.
Penunjuk perasaan, peguam dan ahli akademik memaklumkan Reuters bahawa mereka bimbang akan ada yang menanggung akibat pada masa hadapan.
Penyelidik HRW juga memaklumkan empat orang penunjuk perasaan di Beijing iaitu Editor Cao Zhixin, Akauntan Li Yuanjing, Guru Zhai Dengrui dan wartawan Li Siqi telah ditangkap kerana memilih untuk protes yang boleh membawa hukuman sehingga lima tahun terhadap mereka.
"Sehingga kini, status dua penunjuk perasaan yang melakukan demonstrasi di Jalan Wulumuqi, Li Yi dan Chen Jialin, masih tidak diketahui," kata HRW.
Kumpulan itu menggesa pihak berkuasa membebaskan kesemua individu berkenaan dengan segera.
Sementara itu, Reuters tidak dapat mengesahkan secara terbuka mengenai status individu yang dimaksudkan dalam laporan berkenaan.
Usaha Reuters menghubungi Kementerian Keselamatan Awam China untuk mendapatkan komen juga tidak dijawab.
Menurut HRW, beberapa penunjuk perasaan dibebaskan dengan jaminan.
"Lebih ramai penunjuk perasaan dipercayai telah ditahan atau hilang secara paksa.
"Kes mereka tidak diketahui umum disebabkan amalan pihak berkuasa China yang mengancam keluarga tahanan supaya berdiam diri," katanya.
Tidak lama selepas protes awal Disember lalu, China secara tiba-tiba menurunkan sebahagian besar sekatan sifar-COVID-19 dan coronavirus telah merebak dengan cepat ke seluruh negara. - REUTERS