RIYADH: Arab Saudi tidak akan menormalisasikan hubungan dengan Israel sekiranya tiada penyelesaian dua negara dengan Palestin, kata diplomat tertinggi kerajaan itu dalam satu hantaran di twitter oleh kementerian luar negara itu.
Putera Faisal Farhan Al Saud berkata demikian di luar Forum Ekonomi Dunia di Davos susulan perjumpaan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dengan Penasihat Keselamatan Negara Rumah Putih, Jake Sullivan di Baitulmaqdis untuk membincangkan normalisasi dengan Arab Saudi semalam.
"Penormalan sebenar dan kestabilan sebenar hanya akan dicapai apabila rakyat Palestin diberikan sebuah negara," kata Putera Faisal kepada Bloomberg pada sidang kemuncak itu.
Arab Saudi, pengeksport minyak terbesar dunia, adalah rakan rapat Amerika Syarikat (AS) tetapi ia berulang kali enggan menormalkan hubungan dengan sekutu AS, Israel kerana penjajahannya di wilayah Palestin.
Perjanjian Abraham yang diuruskan oleh AS pada 2020 menyaksikan negara jiran kepada kerajaan Emiriah Arab Bersatu dan Bahrain itu menjalin hubungan diplomatik penuh dengan Israel.
Netanyahu telah berulang kali menyatakan hasratnya untuk melihat Arab Saudi menyertai senarai itu.
Dalam perbincangan mereka, Netanyahu dan Sullivan membincangkan "langkah-langkah untuk memperkukuhkan Perjanjian Abraham dengan memberi penekanan pada kejayaan dengan Arab Saudi," kata pejabat pemimpin Israel itu.
Tebing Barat dan Semenanjung Gaza serta Baitulmaqdis timur yang dikuasai Israel telah lama disebut-sebut sebagai asas negara Palestin dalam penyelesaian "dua negara" kepada konflik yang telah lama berlarutan.
Namun, matlamat itu menjadi semakin jauh, dengan Tebing Barat yang diduduki berpecah-belah oleh penempatan Yahudi.
Netanyahu merancang untuk meneruskan dasar peningkatan pengembangan penempatan di Tebing Barat, dengan parti-parti Yahudi ultra-Ortodoks dalam gabungannya menyokong pengilhakan beberapa wilayah itu. - AFP