NEW DELHI: Syarikat pemula di India menyambut baik keputusan Mahkamah Agung semalam yang mengekalkan perintah anti-persaingan, yang memaksa Google mengubah caranya mengendalikan pentas Android.
Keputusan mahkamah itu dilihat bakal membuka pasaran kepada persaingan yang lebih adil terutama sektor dalam talian yang selama ini dikawal gergasi media sosial seperti Google dan Meta.
Oktober lalu, Suruhanjaya Persaingan India (CCI) mengarahkan Google membuat beberapa perubahan seperti berhenti menggunakan perjanjian hak eksklusif untuk perkhidmatan cariannya serta pra-pemasangan mandatori bagi aplikasinya.
CCI turut mengarahkan Google membenarkan pentas aplikasi pihak ketiga dibenarkan berada dalam Play Store.
Semalam, Mahkamah Agung India menolak permohonan Google untuk membatalkan arahan CCI itu, atas alasan ia akan memberi kesan negatif pada pengguna dan menjejaskan pertumbuhan ekosistem Android di India.
Susulan keputusan mahkamah yang tidak memihak pada mereka, Google kini memiliki tempoh tujuh hari untuk melaksanakan arahan CCI.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat perkhidmatan pemetaan MapmyIndia, Rohan Verma, berkata aplikasinya yang dilancarkan pada 2004, tidak mendapat perkongsian pasaran kerana aplikasi Google Maps sudah siap dimasukkan dalam kebanyakan telefon Android.
"Kami amat gembira. Selama ini kami berdepan kesan negatif, dan kini kami berharap pengguna dan pencipta gajet akan lebih bersedia menggunakan aplikasi kami," katanya.
Menurut anggaran Penyelidikan Counterpoint, kira-kira 97 peratus daripada 600 juta telefon pintar di India menggunakan sistem operasi Android, manakala Apple hanya menguasai tiga peratus perkongsian pasaran.
Google memberi lesen kepada pencipta telefon pintar untuk menggunakan sistem Android dan memaklumkan ia memberi lebih banyak pilihan kepada semua pihak.
Malah, Google mendakwa perjanjian yang dilaksanakannya adalah bersifat anti-persaingan selain dikatakan membantu memastikan sistem operasi itu kekal percuma dan dari sumber terbuka.
CEO Indus OS, Rakesh Deshmukh, menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai peristiwa bersejarah dan memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna dan promosi penggunaan pelbagai aplikasi.
Peguam, Naval Chopra, yang pernah mencabar Google di mahkamah sebelum ini, yakin keputusan mahkamah itu bakal membuka persaingan kepada hos video, pemetaan, pelayar laman sesawang atau enjin carian di India. - REUTERS