JENIN: Pegawai Perubatan Palestin dan seorang saksi mendakwa tentera Israel menembak mati dua lagi rakyat Palestin dalam serbuan di penempatan penduduk di Tebing Barat.
Mangsa adalah seorang guru dan seorang lagi lelaki bersenjata.
Keganasan di Tebing Barat semakin memuncak sejak setahun lalu, dan menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kejadian terbabit adalah yang terburuk sejak 2005, berikutan peningkatan kekerapan serbuan oleh tentera Israel sebagai tindak balas kepada siri serangan jalanan oleh warga Palestin di bandar-bandarnya.
Sekurang-kurangnya 17 rakyat Palestin, termasuk militan dan orang awam, telah dibunuh oleh tentera Israel di Tebing Barat sejak 1 Januari.
Tentera Israel berkata, tenteranya telah diserang oleh lelaki bersenjata Palestin semasa operasi memerangi keganasan di Jenin hari ini dan telah membalas tembakan.
Katanya, laporan mengenai kematian guru itu sedang disiasat.
Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan kematian guru dan lelaki bersenjata itu, yang dikenal pasti oleh kumpulan Jihad Islam Palestin sebagai salah seorang anggotanya.
Farid Bouaqneh, 31, anak kepada guru Jawad Bouaqneh, 57, berkata lelaki bersenjata itu ditembak di luar rumah keluarganya dan dia bersama bapanya keluar untuk membantu militan itu.
"Ayah saya keluar untuk membantu lelaki itu, untuk memberikan pertolongan cemas," kata Bouaqneh kepada Reuters.
"Kami mengheret dia (mangsa) ke dalam dan bapa saya ditembak," kata Bouaqneh sambil menunjuk bahagian atas badannya ketika berdiri di hadapan pintu dengan lantai yang berlumuran darah.
Seorang askar Israel dilaporkan cedera.
Rundingan damai yang diusahakan oleh Amerika Syarikat (AS) bertujuan untuk menubuhkan negara Palestin di Tebing Barat, Gaza dan Baitulmaqdis Timur bersebelahan dengan Israel, gagal pada 2014.
Kejayaan rundingan itu semakin malap sejak Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu kembali berkuasa pada Disember sebagai ketua kerajaan sayap kanan, yang kebanyakan anggotanya menentang kenegaraan Palestin.
Kabinetnya telah menetapkan perluasan penempatan Israel di tanah Tebing Barat sebagai salah satu keutamaannya.
Penasihat Keselamatan Negara dari White House, Jake Sullivan dijangka bertemu dengan pemimpin Israel dan Palestin hari ini dan menekankan komitmen Washington terhadap penyelesaian dua negara, kata jurucakap John Kirby. - REUTERS