TAIPEI: Naib Presiden Taiwan, William Lai, dipilih sebagai Pengerusi baharu parti pemerintah, Parti Progresif Demokratik (DPP), hari ini, sekali gus membuka laluan untuk beliau bertanding pada Pilihan Raya Presiden, awal tahun depan.
Lai adalah calon tunggal untuk mengambil alih teraju DPP, selepas Presiden Tsai Ing-wen meletak jawatan sebagai Pengerusi parti itu pada November tahun lalu berikutan kekalahan DPP dalam pilihan raya tempatan.
Setakat ini, Lai belum menyatakan secara langsung sama ada dirinya berhasrat untuk bertanding pada Pilihan Raya Presiden akan datang, namun beliau dijangka berbuat demikian berdasarkan kedudukannya kini sebagai Pengerusi DPP.
Ing-wen pula tidak boleh bertanding semula dalam perebutan jawatan Presiden Taiwan kerana sudah mencapai had penggal mengikut ketetapan Perlembagaan.
Pemangku Setiausaha Agung DPP, Sidney Lin, memberitahu pemberita di Taipei bahawa Lai akan menyandang jawatan baharunya itu secara rasmi pada Rabu depan.
Sementara itu, Lai dalam satu kenyataan, berikrar untuk meraih semula kepercayaan rakyat terhadap parti berkenaan, sekali gus 'melindungi Taiwan secara tegas, di samping mempromosi demokrasi, keamanan serta kemakmuran Taiwan dalam situasi antarabangsa yang kompleks dan boleh berubah.' - REUTERS