Jumaat, 13 Januari 2023 | 9:33am
Orang ramai mengusung jenazah warga Palestin, Samir Aslan, 41, ketika upacara pengebumian di kem pelarian Qalandia di Tebing Barat, utara Ramallah. - Foto AP
Orang ramai mengusung jenazah warga Palestin, Samir Aslan, 41, ketika upacara pengebumian di kem pelarian Qalandia di Tebing Barat, utara Ramallah. - Foto AP

3 lagi warga Palestin maut di tangan tentera Israel

QALANDIA: Tentera Israel membunuh tiga lagi rakyat Palestin dalam dua serbuan berasingan di Tebing Barat yang diduduki semalam, kata Kementerian Kesihatan Palestin.

Menurut dakwaan tentera Israel, tembakan itu dilepaskan ke atas suspek yang bertindak melarikan diri selepas melontar pasukan keselamatan dengan batu ketika serbuan.

Peningkatan kes keganasan di Tebing Barat ketika ini menunjukkan trend pada 2022 masih berterusan, malah berdasarkan rekod Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak 2005, tahun lalu mencatatkan kes kematian tertinggi.

Kebimbangan terhadap peningkatan operasi ketenteraan di wilayah itu tercetus selepas majlis perasmian gabungan baru kerajaan paling kanan dalam sejarah Israel yang diketuai Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.

Kementerian Kesihatan Palestin berkata, Habib Kamil, 25, dan Abdulhadi Nazal, 18, terbunuh akibat ditembak menggunakan peluru hidup di bandar Qabatiya, berhampiran bandar Jenin di utara Tebing Barat.

Tentera Israel berkata, ketika serbuan untuk menangkap seorang suspek di Qabatiya, 'suspek yang dikehendaki dan seorang lagi suspek melarikan diri dari tempat kejadian'.

Menurut kenyataan sama, dalam pertempuran berikutnya, askar Israel menembak dua warga Palestin berkenaan.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Palestin memberitahu, seorang penduduk Palestin, Samir Aouni Harbi Aslan, 41, meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah berikutan peluru menembusi dadanya.

Kementerian itu memberitahu, mangsa, Samir Aouni Harbi Aslan, 41, meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah berikutan peluru menembusi dadanya.

Menurut wakil ketua masyarakat di kem Qalandia, Mohammed Saed, Aslan ditembak ketika tentera Israel menyerbu rumahnya.

"Dia dibunuh di rumahnya tetapi dia tidak terbabit dalam sebarang konfrontasi. Dia hanya cuba mempertahankan anaknya daripada ditahan," katanya.

Sementara itu, Kelab Tahanan Palestin, memberitahu seramai 18 orang ditahan dalam serbuan sejak kelmarin di seluruh Tebing Barat.

Kelmarin, seorang penduduk Israel menembak mati seorang warga Palestin berusia 19 tahun yang didakwa menyerang seorang warga Israel dengan pisau berhampiran penempatan di selatan Tebing Barat.

Insiden itu berlaku beberapa jam selepas tentera Israel membunuh seorang penduduk Palestin dalam pencerobohan tentera Israel ke atas bandar utara Nablus.

Menurut statistik AFP, berlaku lonjakan kematian tahun lalu dengan sekurang-kurangnya 26 orang warga Israel dan 200 rakyat Palestin terbunuh di seluruh Israel serta Tebing Barat termasuk lebih 150 kematian berlaku di Tebing Barat.

Tentera Israel berulang kali melakukan serbuan ke bandar itu untuk mencari anggota kumpulan bersenjata yang dikenali sebagai Lions' Den.

Israel menyalahkan kumpulan itu kerana menyasarkan serangan ke atas Israel termasuk menyebabkan kematian seorang askar Israel pada Oktober tahun lalu.

Tebing Barat yang diduduki Israel sejak Perang Enam Hari yang berlaku pada 1967 dihuni kira-kira 2.9 juta penduduk Palestin.

Dianggarkan 475,000 peneroka Yahudi kini turut tinggal dalam kalangan masyarakat Palestin di Tebing Barat, yang dianggap sebagai pencerobohan secara haram di bawah undang-undang antarabangsa. - AFP

Berita Harian X