RAMALLAH: Tiga penduduk Palestin maut selepas ditembak oleh tentera Israel dalam tempoh 24 jam di Tebing Barat, menjadikan angka korban meningkat kepada tujuh orang sejak 1 Januari lalu.
Dalam kejadian terbaru, tentera Israel menceroboh kem Qalandia yang terletak berhampiran Ramallah dan menempatkan pelarian Palestin.
Kementerian Kesihatan Palestin berkata, pihak tentera Israel mendakwa penduduk Palestin melontar batu ke arah mereka ketika melakukan serbuan.
Kementerian itu memberitahu, mangsa, Samir Aouni Harbi Aslan, 41, meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah berikutan peluru menembusi dadanya.
Menurut wakil ketua masyarakat di kem Qalandia, Mohammed Saed, Aslan ditembak ketika tentera Israel menyerbu rumahnya.
"Dia dibunuh di rumahnya tetapi dia tidak terbabit dalam sebarang konfrontasi. Dia hanya cuba mempertahankan anaknya daripada ditahan," katanya.
Tentera Israel berkata, pasukan mereka menembak ke arah orang yang 'membaling batu daripada atas bumbung menyasarkan kumpulan tentera yang sedang menjalankan operasi'.
Sementara itu, Kelab Tahanan Palestin, memberitahu seramai 18 orang ditahan dalam serbuan semalaman di seluruh Tebing Barat.
Semalam, seorang penduduk Israel menembak mati seorang warga Palestin berusia 19 tahun yang didakwa menyerang seorang warga Israel dengan pisau berhampiran penempatan di selatan Tebing Barat.
Insiden itu berlaku beberapa jam selepas tentera Israel membunuh seorang penduduk Palestin dalam pencerobohan tentera Israel ke atas bandar utara Nablus.
Menurut statistik AFP, berlaku lonjakan angka korban pada tahun lalu dengan sekurang-kurangnya 26 orang warga Israel dan 200 rakyat Palestin terbunuh di seluruh Israel dan Tebing Barat
Daripada jumlah itu, lebih 150 kematian berlaku di Tebing Barat.
Selain itu, tujuh rakyat Palestin cedera akibat terkena tembakan tentera Israel di bandar Nablus Tebing Barat, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan.
Sementara itu, TV Palestin melaporkan tentera Israel menahan empat rakyat Palestin semasa operasi ketenteraannya di bandar Nablus.
Tentera Israel berulang kali melakukan serbuan ke bandar itu untuk mencari anggota kumpulan bersenjata yang dikenali sebagai Lions' Den.
Israel menyalahkan kumpulan itu kerana menyasarkan serangan ke atas Israel termasuk menyebabkan kematian seorang askar
Israel pada Oktober tahun lalu. - AFP