BAITULMAQDIS: Seorang warga Palestin didakwa menikam dan mencederakan seorang warga Israel ditembak mati oleh orang awam Israel, berhampiran penempatan di Tebing Barat yang diduduki.
Tentera dan perkhidmatan kecemasan berkata tragedi itu adalah yang kedua daripada dua kes maut yang berlaku semalam.
Kerajaan haluan kanan baharu yang diketuai oleh Benjamin Netanyahu, ketika ini mencetuskan kebimbangan peningkatan kegiatan ketenteraan di Tebing Barat yang diduduki Israel sejak Perang Enam Hari 1967.
Lewat semalam, Kementerian Kesihatan Palestin sudah mengenal pasti pemuda yang dikatakan 'ditembak mati oleh tentera Israel' berhampiran penempatan Havat Yehuda di selatan Hebron itu sebagai Sanad Mohammad Samasra.
Tentera Israel bagaimanapun menggelar mangsa sebagai pengganas dengan satu kenyataan dikeluarkan bahawa 'pengganas sudah dineutralkan', tetapi sumber AFP mengesahkan penembak itu adalah orang awam Israel.
Agensi berita rasmi Palestin, Wafa, pula mendedahkan Mohammad Samasra sebagai seorang pemuda berusia 19 tahun.
Perkhidmatan kecemasan Israel berkata, seorang warga Israel berusia kira-kira 30 tahun cedera dalam serangan pisau petang semalam di sebuah ladang berhampiran penempatan Shima.
Mereka berkata, mangsa dibawa ke hospital dalam keadaan stabil.
Tebing Barat adalah rumah kepada kira-kira 2.9 juta rakyat Palestin dan dianggarkan seramai 475,000 peneroka haram Yahudi turut tinggal dalam kalangan masyarakat Tebing Barat, yang dianggap perbuatan haram di bawah undang-undang antarabangsa.
Sejurus sebelum mengangkat sumpah kerajaan baharu, parti Likud pimpinan Netanyahu berkata, pentadbiran akan meneruskan peningkatan pengembangan penempatan di Tebing Barat.
Awal semalam, Kementerian Kesihatan berkata, dalam kejadian berasingan di utara Tebing Barat, Ahmed Amer Salim Abu Junaid, 21, meninggal dunia akibat kecederaan kritikal, selepas dia ditembak di kepala di kem pelarian Balata di Nablus.
Briged Syuhada Al-Aqsa, sayap bersenjata pergerakan Fatah pimpinan Presiden Palestin Mahmud Abbas, mengesahkan lelaki yang mati itu adalah salah seorang anggotanya.
Pertempuran meletus awal semalam apabila tentera memasuki kem, kata tentera.
"Beberapa suspek melepaskan tembakan ke arah tentera (Israel) yang kemudiannya membalas tembakan," kata kenyataan itu, yang turut mendakwa mereka diserang terlebih dulu.
Briged Syahid Al-Aqsa, dalam satu kenyataan, berkata mereka akan 'berkabung bagi mereka yang syahid', selepas Abu Junaid terbunuh dalam 'pertembungan dengan tentera musuh Zionis'.
Wafa turut melaporkan bahawa tentera Israel yang menyamar 'menyusup ke dalam kem dan mengepung sebuah rumah', malah mereka juga mendakwa tentera Israel melepaskan tembakan 'peluru hidup, bom tangan dan gas pemedih mata'.
Tambahnya lagi, Abu Junaid pada mulanya dipindahkan ke hospital Rafidia Nablus sebelum meninggal dunia akibat kecederaan parah beberapa jam kemudian.
Minggu lalu, tentera Israel membunuh Amer Abu Zeitoun, 16, dalam operasi berasingan di Nablus.
Pertempuran bersenjata meletus antara Palestin dan tentera Israel, dengan tahun lalu menjadi tahun paling berdarah di Tebing Barat menurut rekod Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bermula pada 2005, dengan lebih 150 rakyat Palestin terbunuh. - AFP