Ahad, 8 Januari 2023 | 10:58pm
Menteri Luar Palestin, Riyad, al-Maliki. - Foto REUTERS
Menteri Luar Palestin, Riyad, al-Maliki. - Foto REUTERS

Israel gantung kad VIP menteri luar Palestin

BAITULMAQDIS: Israel menggantung pas VIP yang memudahkan perjalanan Menteri Luar Palestin, Riyad, al-Maliki, di dalam dan sekitar Tebing Barat yang diduduki.

Tindakan itu adalah sebagai tindak balas terhadap usaha Palestin untuk membawa konflik membabitkan Israel sejak beberapa dekad lalu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Al-Maliki, ditahan selama 30 minit oleh pengawal sempadan yang merampas kad perjalanan 'VIP' miliknya ketika memasuki Tebing Barat yang diduduki Israel dari Jordan.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Israel, yang mentadbir Tebing Barat, mengesahkan langkah itu sebagai sebahagian daripada pelaksanaan keputusan kerajaan.

Dalam keputusan itu, Israel mengumumkan tindak balas selepas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNGA), menjawab rayuan oleh rakyat Palestin, meminta ICJ untuk mendapatkan pendapat tentang kesan undang-undang pendudukan Israel di wilayah Palestin.

Antara lima langkah yang disenaraikan ialah pembatalan faedah untuk VIP yang mengetuai perang diplomatik undang-undang terhadap Israel.

Semalam, Kementerian Pertahanan Israel berkata, kad VIP tiga lagi pegawai kanan Palestin turut dibatalkan sebagai tindak balas kerana melawat seorang anggota minoriti Arab Israel yang dipenjarakan kerana membunuh seorang askar Israel.

Kad VIP yang dikeluarkan di bawah perjanjian interim dengan Israel dari 1990-an, ia bertujuan memudahkan perjalanan merentasi sempadan Tebing Barat yang dikawal Israel dengan Jordan dan dari wilayah yang dikuasai Palestin ke Israel.

Sementara itu, pembantu kepada al-Maliki, Ahmed Al-Deek, berkata Menteri Luar Negeri akan meneruskan tugasnya dan aktiviti diplomatiknya dengan atau tanpa kad itu.

Pada tahun 2021, Israel merampas kad VIP al-Maliki selepas dia pulang dari mesyuarat Mahkamah Jenayah Antarabangsa, namun tidak dijelaskan bila kad itu akan dipulangkan. - REUTERS

Berita Harian X