Sabtu, 7 Januari 2023 | 10:16pm
Orang ramai membeli belah sempena sambutan Pesta Musim Bunga dan Tahun Baharu Cina di Beijing, China, di tengah kebimbangan mengenai penularan COVID-19 apabila negara itu membuka sempadannya. - Foto AP
Orang ramai membeli belah sempena sambutan Pesta Musim Bunga dan Tahun Baharu Cina di Beijing, China, di tengah kebimbangan mengenai penularan COVID-19 apabila negara itu membuka sempadannya. - Foto AP

China berjaga-jaga kemunculan varian baharu COVID-19

BEIJING: China akan memantau pelancong yang memasuki negara itu di beberapa lintasan sempadan untuk mengesan varian baharu COVID-19 selain.

Pada masa sama, kerajaan tempatan dibenar mengenakan sekatan semula ke atas penduduk bagi mengelak peningkatan kes selepas negara itu membuka semula sempadannya esok.

Beberapa bandar dan pelabuhan terpilih juga diminta menghantar sampel ujian pengembara yang dijangkiti untuk penjujukan genom di Institut Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Virus Kebangsaan, menurut pelan kawalan COVID-19 terkini yang dikeluarkan semalam.

China, yang sedang melalui gelombang jangkitan utama selepas melonggarkan dasar ketat 'Sifar COVID-19' sejak beberapa minggu kebelakangan ini, masih belum melaporkan sebarang kes domestik XBB.1.5 iaitu subvarian omicron XBB yang kini menjadi dominan di Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, agensi kesihatan di seluruh dunia, termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bimbang bahawa China tidak menyediakan maklumat penjujukan genom yang mencukupi untuk membuat sebarang kesimpulan yang pasti.

Negara itu bersedia membuka semula sempadannya selepas melonggarkan dasar 'Sifar COVID-19' pada Disember selain mengurangkan kuarantin untuk pelancong dan hanya mensyaratkan keputusan ujian COVID-19 negatif yang diambil dalam masa 48 jam sebelum berlepas.

Pegawai penjagaan kesihatan, Liang Wannian, berkata China masih belum menetapkan garis masa untuk menamatkan keperluan ujian pra-perjalanan dan akan menggesa pegawai kastam menguji barangan yang dieksport untuk mengurangkan kebimbangan penularan melalui penghantaran antarabangsa.

Kementerian Pengangkutan mengumumkan akan membenarkan kru kapal pelayaran antarabangsa menukar syif di pelabuhan atau darat tanpa memerlukan pra-kelulusan mulai 8 Januarin dan akan membatalkan ujian COVID-19 serta keperluan kuarantin berpusat semasa ketibaan.

Jumlah kematian yang disahkan di China akibat COVID-19 meningkat kepada hampir 17,500, tetapi terdapat kebimbangan bahawa jumlah itu jauh lebih rendah selepas kerajaan menggunakan definisi yang lebih sempit untuk takrifan kematian akibat virus itu.

Sementara itu, Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan mengulangi bahawa ia akan menggesa kerajaan tempatan untuk mengelakkan daripada mengambil langkah penutupan yang melampau berhubung COVID-19, tetapi sekatan pergerakan boleh dikenakan semula untuk mencegah wabak besar-besaran.

Kerajaan tempatan boleh mengarahkan sekolah diadakan secara dalam talian, mengenakan peraturan bekerja dari rumah, membatalkan acara awam yang tidak perlu dan menutup tempat hiburan sekiranya berlaku kecemasan.

Selain itu, pegawai kesihatan menekankan keperluan untuk meningkatkan pencegahan dan rawatan COVID-19 di kawasan luar bandar ketika Pesta Musim Bunga semakin hampir.

Jurucakap NHC, Mi Feng, berjanji untuk meningkatkan sokongan hospital di kawasan luar bandar dan mempercepatkan vaksinasi dalam kalangan warga tua di kampung.

Hampir 99 peratus hospital perbandaran dan pusat kesihatan dalam komuniti tempatan sudah ditubuhkan klinik demam dan pihak berkuasa membentuk kumpulan untuk menyelaras bekalan perubatan di seluruh negara. - AGENSI

Berita Harian X