NEW YORK: Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) semalam menyuarakan kebimbangan dan menekan keperluan Israel dan Palestin mengekalkan status quo di perkarangan masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis.
Kebimbangan Anggota Majlis Keselamatan PBB (UNSC) itu disuarakan beberapa hari selepas Menteri Keselamatan Kanan Israel yang baharu, Itamar Ben-Gvir, bertindak melawat tapak suci berkenaan.
Status quo yang wujud selama beberapa dekad itu hanya membenarkan orang Islam saja beribadat di perkarangan masjid, yang turut digelar 'Temple Mount' oleh penganut Yahudi.
Seorang pegawai Israel berkata, Ben-Gvir mematuhi aturan yang membenarkan orang bukan Islam melawat tetapi tidak bersembahyang di tapak suci itu.
Bagaimanapun, Utusan Palestin ke PBB, Riyad Mansour, mendesak UNSC mengambil tindakan, satu langkah yang tidak mungkin berlaku memandangkan Amerika Syarikat (AS) secara tradisinya melindungi Israel.
AS, Russia, China, Perancis dan Britain adalah negara anggota yang memiliki kuasa veto dalam UNSC.
"Apakah garis merah yang perlu dilanggar oleh Israel untuk UNSC menegaskan 'cukup' dengan apa yang sudah dilakukan," atanya.
Mansour memberitahu 15 anggota UNSC bahawa perbuatan pemimpin Israel itu menunjukkan 'penghinaan mutlak' dan seolah-olah mencabar keupayaan badan dunia itu bertindak terhadapnya.
Pegawai kanan hal ehwal politik PBB, Khaled Khiari, memberitahu bahawa itu lawatan ke tapak berkenaan adalah yang pertama dilakukan oleh menteri Kabinet Israel sejak 2017.
"Walaupun lawatan itu tidak disertai atau disusuli dengan keganasan, ia dilihat sebagai menghasut memandangkan Ben-Gvir adalah pemimpin pelampau berhaluan kanan yang giat memperjuangkan untuk mengubah status quo," katanya.
Malah, beliau pernah berkempen supaya kawasan merangkumi Masjid Al-Aqsa dan 'Temple Mount' dibuka kepada umum tanpa sebarang sekatan untuk beribadat.
Beliau bagaimanapun tidak komited dalam isu itu sejak bersekutu dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bagi membentuk kerajaan gabungan baharu.
Ahli lain parti Jewish Power yang dipimpin Ben-Gvir bagaimanapun masih menyokong langkah sedemikian.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, menggesa semua pihak mengelak daripada melakukan tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan di dalam dan sekitar tapak suci itu.
Duta Besar Israel ke PBB, Gilad Erdan, memaklumkan sebelum pertemuan itu bahawa orang Yahudi dibenarkan melawat tapak paling suci dalam agama Yahudi.
"Ia adalah hak setiap Yahudi dan Israel tidak menjejaskan status quo serta tidak bercadang untuk berbuat demikian," katanya.
Timbalan Duta Besar AS, Robert Wood, berkata AS kekal komited kepada penyelesaian dua negara bagi menamatkan konflik antara Israel dan Palestin.
"Bagaimanapun, AS bimbang sebarang tindakan sebelah pihak akan memburukkan lagi ketegangan atau menjejaskan kemajuan rumusan penyelesaian dua negara ini," katanya. - REUTERS