KABUL: Ribuan kanak-kanak di Afghanistan dimasukkan ke hospital akibat radang paru-paru dan penyakit pernafasan lain, berpunca daripada selsema dan kekurangan zat makanan.
Angka hospital menunjukkan, lebih 67,000 kanak-kanak dimasukkan ke hospital pada November lalu, berbanding kira-kira 3,700 kanak-kanak pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC), yang memberi sokongan kepada beberapa hospital di Afghanistan, berkata sebelum musim sejuk, berlaku peningkatan 50 peratus kanak-kanak di bawah lima tahun yang dimasukkan ke wad akibat radang paru-paru, berbanding tahun sebelumnya.
"Ramai yang maut akibat radang paru-paru tahun ini, termasuk kanak-kanak," kata jurucakap ICRC di Kabul, Lucien Christen dan memaklumkan, kekurangan zat makanan menyumbang kepada sistem imun kanak-kanak yang lemah.
"Pesakit kami meningkat berbanding sebelum ini, sebab utamanya adalah ekonomi," kata ketua perubatan dalaman, Hospital Kanak-kanak Indira Gandhi, Kabul, Mohammad Arif Hassanzai.
Agensi bantuan berkata, krisis di negara itu mungkin akan menjadi lebih teruk. Larangan ke atas pekerja badan bukan kerajaan (NGO) wanita menyebabkan lebih 180 organisasi antarabangsa terpaksa menggantung operasi ketika musim sejuk yang memuncak.
Ia berikutan NGO berkenaan tidak dapat beroperasi di negara konservatif itu tanpa kakitangan wanita bagi mendekati golongan wanita dan kanak-kanak.Ramai keluarga di Afghanistan yang tidak mampu menyediakan pemanasan mencukupi dan perlu terpaksa memilih antara makanan dan bahan api, susulan krisis ekonomi yang mencengkam negara itu.
Sebelum ini, lebih separuh penduduk Afghanistan bergantung kepada bantuan kemanusiaan selepas kejatuhan ekonomi yang tercetus akibat pengambilalihan oleh Taliban pada 2021, menyebabkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu menyusut 20 peratus tahun lalu.
Afghanistan turut berdepan pemotongan perbelanjaan pembangunan oleh kerajaan asing, penguatkuasaan sekatan Barat dan pembekuan aset bank pusat negara, yang menjejaskan sistem perbankan dengan teruk. - REUTERS