KABUL: Larangan oleh Taliban yang melarang wanita Afghanistan bekerja untuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), membantutkan operasi kemanusiaan kumpulan itu di lapangan.
Larangan itu juga meninggalkan jurang berbahaya dalam usaha memberi sokongan yang dapat menyelamatkan nyawa terutama bagi kanak-kanak dan wanita.
Pegawai kanan di Jawatankuasa Penyelamat Antarabangsa (IRC), Samira Sayed-Rahman, berkata NGO Afghanistan memainkan peranan penting dalam usaha menangani salah satu krisis kemanusiaan terburuk di dunia, dengan separuh penduduk negara itu kelaparan dan tiga juta kanak-kanak berisiko kekurangan zat makanan.
"Adalah mustahil untuk meneruskan aktiviti di negara ini jika kami tidak mempunyai wanita menjadi sebahagian daripada pertubuhan kami pada semua peringkat," katanya.
Kira-kira 1,260 NGO beroperasi di seluruh Afghanistan, dengan ribuan pekerja wanita menyediakan perkhidmatan dalam penjagaan kesihatan, pendidikan, air dan sanitasi.
IRC adalah salah satu daripada beberapa NGO, bersama CARE dan Save the Children – yang menggantung operasi, dengan menggesa Taliban untuk membatalkan larangan berkenaan.
Dasar diskriminasi Taliban akan menyaksikan ribuan wanita kehilangan pekerjaan dan lebih ramai lagi terputus daripada gelung bantuan.
Taliban memberitahu, 'Jika anda memilih untuk pergi daripada mematuhi peraturan kami, maka keadaan (kemanusiaan) hanya akan bertambah buruk'.
Larangan itu adalah salah satu daripada dua perintah yang dikeluarkan berturut-turut bulan lalu.
Beberapa hari sebelum itu, pihak berkuasa Taliban melarang wanita daripada mendapat pendidikan universiti, yang menjadi kemuncak sekatan ke atas kehidupan wanita, sekali gus memencil terus mereka di rumah.
Menurut timbalan ketua negara untuk CARE di Afghanistan, Reshma Azmi, wanita adalah penting untuk operasi bantuan di lapangan, terutamanya dalam mengenal pasti wanita lain yang memerlukan.
"Seorang penerima manfaat wanita juga berasa lebih selesa bercakap dengan pekerja bantuan wanita... sebab itu adalah mustahil tanpa kakitangan wanita," katanya.
CARE memberikan bantuan kepada kira-kira setengah juta wanita dan kanak-kanak pada 2022, termasuk menawarkan kelas untuk kanak-kanak perempuan yang dikendalikan oleh guru wanita
"Tanpa kakitangan wanita, kami tidak akan dapat menghampiri separuh daripada mereka," katanya.
Pegawai kerajaan mendakwa larangan itu dikenakan kerana wanita tidak mematuhi peraturan Taliban mengenai tudung, atau ditemani oleh saudara lelaki ketika dalam perjalanan.
Bagaimanapun beberapa pekerja bantuan berkata mereka tidak menerima sebarang amaran melanggar norma budaya.
Ketua Tindakan Menentang Kelaparan di Afghanistan, Samy Guessabi, berkata pertubuhan kemanusiaan menghormati nilai, tradisi dan budaya Afghanistan.
Larangan itu dikecualikan bagi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang turut mengecam perintah Taliban dan menyertai NGO lain dalam mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa Kabul bagi menuntut penjelasan.
Bagaimanapun, Penyelaras Residen PBB di Afghanistan, Ramiz Alakbarov, berkata mereka tidak akan menghentikan bantuan sebagai protes kerana ia 'penting untuk kekal dan disampaikan kepada golongan sasar'.
"Cara terbaik untuk mendapatkan penyelesaian bukanlah tekanan. Ia adalah melalui dialog," katanya minggu lalu. - AFP