TOKYO: Jepun akan memperketatkan langkah kawalan sempadan ke atas pengembara dari China apabila mengkehendaki mereka mengemukakan keputusan ujian negatif COVID-19 sebelum pesawat berlepas dari republik itu, umum Perdana Menteri, Fumio Kishida hari ini.
Ketetapan itu sebagai tindak balas bagi membendung peningkatan jangkitan COVID-19 membabitkan pengembara dari negara itu.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan akan terus meminta syarikat penerbangan untuk mengehadkan penerbangan tambahan dari republik berkenaan.
"Sekatan yang diperlukan masih dilaksanakan kerana kami mengambil semua langkah yang mungkin untuk mencegah jangkitan," katanya.
Menurut Kishida, keputusan itu menyusul selepas beberapa negara mengumumkan langkah sama.
Berdasarkan data direkodkan Kementerian Kesihatan Jepun, sebanyak 53 daripada 56 pelancong antarabangsa disahkan positif COVID-19 semasa tiba di lapangan terbang pada Selesa lalu, adalah dari China.
Isnin lalu, sebanyak 26 pengunjung diuji positif adalah dari China.
Suruhanjaya Eropah Selasa lalu memaklumkan, kebanyakan negara Kesatuan Eropah (EU) cenderung untuk mengenakan ujian praberlepas untuk pelancong dari China.
Susulan pengumuman sekatan itu, Beijing menyifatkan ia sebagai diskriminatif selepas Korea Selatan, Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara lain melakukan perkara sama.
Dalam pengumuman berasingan, Kementerian Luar Jepun mengumumkan penerbangan terus dari Hong Kong dan Macau akan dibenarkan mendarat di lapangan terbang selain Narita dan Haneda dekat Osaka, Chubu dekat Nagoya bagi mengurangkan sekatan yang diarahkan minggu lalu.
Tambahnya, syarikat penerbangan mesti menahan penerbangan tambahan dari Hong Kong dan hab perjudian Macau selepas senarai destinasi lapangan terbang diperluas pada Ahad lalu. - REUTERS