Rabu, 4 Januari 2023 | 3:57pm
Pegawai New Zealand akan meminta beberapa pelancong dari China untuk melakukan ujian sukarela untuk mendapatkan maklumat lanjut. - Foto AP
Pegawai New Zealand akan meminta beberapa pelancong dari China untuk melakukan ujian sukarela untuk mendapatkan maklumat lanjut. - Foto AP

New Zealand tetapkan pengembara China tak perlu kemuka ujian negatif COVID-19

WELLINGTON: Kerajaan New Zealand hari ini mengumumkan pengembara dari China tidak perlu mengemukakan keputusan negatif ujian COVID-19.

Menteri COVID-19, Ayesha Verrall, berkata keputusan itu berdasarkan rumusan hasil penilaian risiko kesihatan awam bahawa pengembara dari China tidak akan menyumbang secara signifikan kepada jumlah kes di negaranya.

"Terdapat risiko kesihatan awam yang minimum ke atas New Zealand," katanya dalam satu kenyataan.

Susulan penarikan sekatan termasuk pemansuhan dasar sifar COVID-19 di China, beberapa negara termasuk Britain, Amerika Syarikat (AS) dan Australia mengkehendaki pengembara dari China untuk mengemukakan keputusan negatif.

Langkah itu susulan timbul kebimbangan mengenai skala perebakan meluas wabak di negara itu termasuk keraguan terhadap statistik kesihatan Beijing.

Media kerajaan China mengkritik tindakan itu kerana ia dianggap satu bentuk diskriminasi.

Jangkitan COVID-19 di China meningkat selepas negara itu memansuhkan dasar ketat sifar COVId-19 pada 7 Disember lalu.

Susulan kebimbangan wabak itu boleh merebak, semua ketibaan antarabangsa di New Zealand disaran untuk melakukan ujian terhadap individu yang mempunyai gejala.

New Zealand menyediakan ujian percuma di lapangan terbang. Pegawai di lapangan akan meminta beberapa pelancong dari China untuk melakukan ujian secara sukarela untuk mengumpulkan lebih banyak maklumat.

Selain itu, New Zealand juga merancang untuk menjalankan ujian air kumbahan membabitkan pesawat penerbangan antarabangsa bagi melihat sama ada langkah itu boleh menggantikan ujian bersasar dan secara sukarela. - REUTERS

Berita Harian X