Selasa, 3 Januari 2023 | 4:45pm
Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr (kanan) melambai di sebelah isteri Maria Louise ketika mereka menaiki pesawat ke China. - Foto AP
Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr (kanan) melambai di sebelah isteri Maria Louise ketika mereka menaiki pesawat ke China. - Foto AP

Presiden Filipina melawat China bincang aktiviti di Laut China Selatan

MANILA: Lawatan Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr ke China selama tiga hari bermula hari ini, dijangka membincangkan mengenai aktiviti Beijing yang menjadi pertikaian di Laut China Selatan.

Ini kerana, Manila berpendirian bahawa aktiviti negara itu di perairan berkenaan didakwa salah.

Justeru, beliau berharap bakal mencapai sesuatu yang positif dalam pertemuan dengan Presiden China itu.

"Isu antara kedua-dua negara adalah masalah yang dimiliki dua sahabat seperti Filipina dan China," katanya.

Mengenai pertemuan itu, Marcos Jr berkata ia adalah sesi bersemuka kedua antara beliau dan Jinping selepas mereka berdua bertemu di Thailand.

Ia susulan Filipina bertindak membangkitkan kebimbangannya susulan dakwaan aktiviti pembinaan China dan kewujudan berduyun-duyun kapal Beijing di perairan Laut China Selatan yang menjadi pertikaian.

Minggu lalu, seorang pegawai Kementerian Luar Filipina memaklumkan perbincangan dengan Jinping termasuk tindakan China di Laut China Selatan.

Jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin Jumaat lalu tidak menyebut Laut China Selatan tetapi matlamat lawatan itu akan memberi fokus secara mendalam pertukaran pandangan mengenai hubungan bilateral, isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kebimbangan bersama.

Wenbin menjelaskan ia akan mempromosikan kerjasama dalam pertanian, infrastruktur, tenaga dan budaya untuk membina sebuah era kegemilangan.

Sementara itu, penganalisis menjangkakan Marcos Jr akan memanfaatkan kunjungan itu bagi membantu mengimbangi dasar luar negaranya selepas presiden terdahulu, Rodrigdo Duterte menganjak rapat hubungan Filipina dengan China dan menjauhi Amerika Syarikat (AS).

Walaupun Filipina adalah sebuah negara rakan pertahanan AS, namun di bawah Duterte, negara kepulauan itu mengetepikan perbalahan wilayah ke atas Laut China Selatan sebagai pertukaran untuk pelaburan China.

Beijing menuntut sebahagian besar Laut China Selatan, di mana kira-kira AS$3 trilion (RM13.2 trilion) dalam bentuk perdagangan menerusi kapal yang melalui perairan itu setiap tahun.

Ditambah pula, perairan itu menjadi titik ketegangan antara China dan AS menerusi operasi tentera laut kedua-dua negara berkenaan. - REUTERS

Berita Harian X