Isnin, 2 Januari 2023 | 3:23pm
Pihak berkuasa Israel merobohkan rumah milik warga Palestin yang didakwa terbabit dalam keganasan di kampung Kafr Dan dekat Jenin, di Tebimg Barat. - Foto REUTERS
Pihak berkuasa Israel merobohkan rumah milik warga Palestin yang didakwa terbabit dalam keganasan di kampung Kafr Dan dekat Jenin, di Tebimg Barat. - Foto REUTERS

Tentera Israel bunuh 2 warga Palestin di Tebing Barat

RAMALLAH: Tentera Israel bertindak membunuh dua rakyat Palestin, termasuk seorang lelaki yang didakwa ahli kumpulan bersenjata, dalam pertembungan awal pagi tadi.

Kementerian Kesihatan Palestin yang mengesahkan jumlah kematian berkata, tragedi itu berlaku apabila tentera Israel memasuki perkampungan Palestin, Kafr Dan, berhampiran bandar Jenin di Tebing Barat.

Pengarah Hospital Ibn Sina di Jenin, Samer Attiyeh, berkata mereka yang terbunuh ialah Samer Houshiyeh, 21, yang ditembak beberapa kali di bahagian dada dan Fouad Abed, 25.

Sebuah kumpulan bersenjata, Briged Syahid Al Aqsa, kemudiannya mendakwa Samer sebagai ahli mereka.

Kumpulan itu, yang juga cabang parti Fatah pimpinan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, turut mendedahkan gambar lama Samer bersama senapang.

Terdapat video di media sosial yang menunjukkan jenazah dibalut dengan bendera kumpulan bersenjata itu, manakala ibu dan orang ramai memberikan penghormatan terakhir.

Namun, tidak dapat dipastikan sama ada mangsa kedua yang maut turut mempunyai kaitan dengan kumpulan pejuang itu.

Sementara itu, menurut tentera Israel, mereka memasuki Kafr Dan semalam untuk memusnahkan rumah dua lelaki Palestin yang membunuh seorang askar Israel semasa pertempuran pada September lalu.

Menurutnya, tindakan itu dilakukan kononnya sebagai pengajaran bagi menghalang sebarang serangan seumpamanya dilakukan pada masa depan.

Pihak pengkritik bagaimanapun mendakwa taktik itu dilihat lebih berbentuk hukuman terhadap keluarga pelaku.

Tahun 2022 merekodkan kes kematian paling banyak di Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis sejak 2006.

Tentera Israel melakukan serbuan hampir setiap hari di bandar dan pekan sekitar Palestin sebagai tindak balas terhadap beberapa siri serangan pejuang Palestin itu terhadap Israel, yang mengorbankan 19 orang sepanjang musim bunga lalu.

Lebih 150 rakyat Palestin terbunuh sepanjang tahun lalu manakala siri serangan balas menyaksikan sekurang-kurangnya sembilan lagi warga Israel maut, beberapa bulan lalu.

Menurut tentera Israel, kebanyakan rakyat Palestin yang terbunuh adalah 'pengganas', namun hakikatnya beberapa individu lain yang tidak terbabit dalam sebarang pertempuran turut dibunuh.

Israel berkata, serbuan itu bertujuan untuk melumpuhkan 'rangkaian pengganas' dan menggagalkan sebarang perancangan serangan pada masa depan.

Rakyat Palestin melihat mereka sebagai benteng perlindungan terhadap pencerobohan terbuka Israel di Tebing Barat dan kerap kali memperjudikan nyawa mereka bagi menghalang pencerobohan secara haram.

Israel menawan Tebing Barat, bersama dengan Baitulmaqdis timur dan Semenanjung Gaza dalam perang Timur Tengah 1967 dan Palestin berusaha mendapatkan semula wilayah itu sebagai ibu negara mereka. - AP

Berita Harian X