Ahad, 1 Januari 2023 | 10:51am
China mula membuka semula sempadan selepas tiga tahun. - Foto REUTERS
China mula membuka semula sempadan selepas tiga tahun. - Foto REUTERS

Taiwan tawar bantuan COVID-19 kepada China

TAIPEI: Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen hari ini menawarkan 'bantuan yang diperlukan' kepada China untuk membantu negara itu menangani lonjakan kes COVID-19, namun menyelar mengenai ketenteraan China berhampiran pulau itu yang tidak akan memberi manfaat kepada keamanan dan kestabilan.

Beberapa pakar kesihatan antarabangsa sebelum ini berkata, China bulan lalu mula melonggarkan rejim pandemik paling ketat di dunia iaitu sekatan dan ujian meluas, sekali gus menyebabkan COVID-19 merebak tanpa dikawal dan berkemungkinan menjangkiti berjuta-juta orang sehari.

Malah, Ing-wen dalam perutusan Tahun Baharu yang disampaikan di pejabat presiden, berkata semua orang sudah melihat peningkatan kes di China.

"Selagi ada keperluan, berdasarkan kedudukan penjagaan kemanusiaan, kami bersedia memberikan bantuan yang diperlukan untuk membantu lebih ramai orang keluar daripada wabak itu dan mempunyai Tahun Baru yang sihat dan selamat," katanya tanpa mengulas lanjut.

Taiwan dan Chin berulang kali bertelagah mengenai langkah masing-masing untuk mengawal penularan COVID-19.

China mengkritik Taiwan kerana pengurusan wabak yang tidak berkesan selepas jangkitan domestik yang meningkat tahun lalu, manakala Taiwan menuduh China kurang ketelusan dan cuba mengganggu bekalan vaksin ke Taiwan, tetapi ia dinafikan Beijing.

Ing-wen yang mengulangi seruan untuk berdialog dengan China, berkata perang bukanlah satu pilihan untuk menyelesaikan masalah.

Presiden China, Xi Jinping, dalam ucapan Tahun Baharu pada petang semalam pula hanya membuat rujukan ringkas mengenai Taiwan, dengan mengatakan orang di kedua-dua belah Selat Taiwan 'adalah ahli satu keluarga yang sama' dan tidak menyebut mengenai usaha untuk membawa pulau di bawah kawalan China.

Ing-wen yang ditanya wartawan, berkata beliau melihat kenyataan Jinping itu sebagai 'lebih lembut'.

"Tetapi saya ingin mengingatkan orang ramai - aktiviti ketenteraan Tentera Pembebasan Rakyat berhampiran Taiwan sama sekali tidak kondusif untuk hubungan rentas selat mahupun untuk keamanan dan kestabilan serantau," tambahnya.

Sejurus selepas Ing-wen bercakap demikian, Kementerian Pertahanan Taiwan berkata, 12 pesawat tentera China melintasi garis tengah Selat Taiwan dalam tempoh 24 jam yang lalu, yang sebelum ini berfungsi sebagai penampan tidak rasmi antara kedua-dua pihak.

China mengadakan 'permainan perang' berhampiran pulau itu pada Ogos selepas Speaker Dewan Rakyat Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi melawat Taipei dengan meneruskan aktiviti ketenteraan.

Ing-wen telah berulang kali berkata, beliau mahukan perbincangan dan keamanan dengan China tetapi Taiwan akan mempertahankan diri jika diserang dan hanya 23 juta penduduknya boleh menentukan masa depan mereka.

Namun, China memandang Ing-wen sebagai pemisah dan enggan bercakap dengannya. - REUTERS

Berita Harian X