Jumaat, 30 Disember 2022 | 10:28am
 Foto fail REUTERS
Foto fail REUTERS

Korea Selatan laksana ujian COVID-19 untuk pelancong China

SEOUL: Korea Selatan bakal mengenakan ujian mandatori COVID-19 ke atas pelancong dari China, menyertai Amerika Syarikat, Jepun dan negara lain sebagai langkah baharu selepas keputusan Beijing menarik balik dasar sifar COVID yang ketat.

Perdana Menteri Korea Selatan, Han Duck-soo, berkata negara itu juga akan mengehadkan pengeluaran visa jangka pendek untuk warga China sehingga akhir bulan depan.

Beliau berkata kerajaan akan menghentikan sementara peningkatan penerbangan dari China dengan menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon sebagai satu-satunya pintu masuk untuk mana-mana penerbangan dari negara jiran itu.

Berkuat kuasa 5 Januari, pengembara dari China dikehendaki mengemukakan keputusan negatif daripada ujian PCR tidak lebih daripada 48 jam atau ujian antigen pantas yang diambil dalam masa 24 jam sebelum berlepas, selain menjalani ujian PCR lain ketika ketibaan mulai 2 Januari.

"Kami perlu segera bersedia untuk sebarang kesan riak domestik berikutan pelonggaran peraturan kuarantin China," kata Duck-soo.

"Kami akan bersiap sedia untuk mengambil langkah lebih tegas sekiranya keadaan menjadi lebih teruk, jika kami melihat peningkatan pesat jangkitan daripada ketibaan atau kemunculan varian baharu."

Mulai bulan ini China mula merungkai rejim sekatan COVID yang paling ketat di dunia dan ujian meluas dalam perubahan dasar yang mendadak, mendorong negara lain mengenakan atau mempertimbangkan untuk mengenakan sekatan ke atas pelancong China di tengah-tengah lonjakan kes di negara itu. - REUTERS

Berita Harian X