Khamis, 29 Disember 2022 | 11:37am
Taliban sebahagian besarnya mengharamkan pendidikan kanak-kanak perempuan ketika berkuasa dua dekad lalu. - Foto AFP
Taliban sebahagian besarnya mengharamkan pendidikan kanak-kanak perempuan ketika berkuasa dua dekad lalu. - Foto AFP

PBB menghentikan beberapa program di Afghanistan

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam memaklumkan beberapa program kemanusiaan penting di Afghanistan terpaksa dihentikan buat sementara waktu kerana kerajaan yang ditadbir Taliban melarang golongan wanita negara itu terbabit dengan kegiatan berkenaan.

Ekoran tindakan itu, PBB turut memberi amaran kemungkinan banyak lagi aktiviti lain akan berdepan masalah sama.

Ketua Bantuan PBB, Martin Griffiths; Ketua Agensi PBB dan beberapa kumpulan bantuan lain dalam satu kenyataan bersama mempertahankan penyertaan wanita untuk terbabit dengan kerja penyampaian bantuan kerana ia bukan sesuatu yang boleh dirunding dan mesti diteruskan.

Justeru, pihak berkenaan sepakat mendesak supaya pihak berkuasa untuk membatalkan keputusan itu.

"Keputusan mengharamkan wanita daripada melakukan kerja kemanusiaan mempunyai akibat yang mengancam nyawa serta-merta bagi semua rakyat Afghanistan. Sudah beberapa program penting terpaksa dihentikan buat sementara waktu kerana kekurangan kakitangan wanita.

"Justeru, kami tidak boleh mengabaikan kekangan operasi yang dihadapi sebagai komuniti kemanusiaan. Kami akan berusaha untuk meneruskan aktiviti bagi menyelamatkan nyawa dan perkara penting. Tetapi kami jangkakan lebih banyak aktiviti perlu dihentikan sementara sehingga kami dapat menyampaikan bantuan tanpa pekerja bantuan wanita.

"Tiada negara yang mampu untuk mengecualikan separuh daripada penduduknya untuk memberi sumbangan kepada masyarakat," kata mereka.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Ketua Program Makanan Sedunia (UNICEF), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Program Pembangunan PBB dan Pesuruhjaya Tinggi untuk Pelarian dan Hak Asasi Manusia (UNCHR).

Larangan ke atas pekerja bantuan wanita diumumkan oleh kerajaan Taliban Sabtu lalu.

Ia susulan larangan yang dikenakan minggu lalu ke atas wanita untuk ke universiti.

Kanak-kanak perempuan juga dilarang ke sekolah menengah pada Mac lalu.

Berikutan larangan itu, keempat-empat pertubuhan global utama itu Ahad lalu terpaksa menangguhkan operasi kerana tidak dapat menjalankan program tanpa kakitangan wanita.

Menurut kenyataan dikeluarkan PBB, larangan ke atas pekerja bantuan wanita diumumkan ketika lebih 28 juta orang di Afghanistan menagih bantuan untuk terus hidup di negara yang sedang berdepan dengan risiko kebuluran, kemerosotan ekonomi, kemiskinan yang kian memburuk dan musim sejuk. - REUTERS

Berita Harian X